Azeem laung sasaran Paris 2024

Azeem tekad melakukan yang terbaik di Paris nanti.
Azeem tekad melakukan yang terbaik di Paris nanti.
A
A
A

RAJA pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mula meletakkan sasaran peribadi sebaik menyambar slot wild card ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang diumumkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Rabu.

Pelari kelahiran Teluk Intan Perak itu menyasarkan pentas separuh akhir dalam penampilan sulung di temasya sukan menghimpunkan atlet riben biru beprestasi tinggi dunia tersebut.

Jelas penuntut Auburn University itu lagi misi tersebut juga bagi membuktikan dia layak diberikan wild card untuk mengalas cabaran Malaysia di Paris 2024.

"Sejujurnya ini pentas temasya untuk saya sekurang-kurangnya dapat meraih pencapaian semusim terbaik atau rekod kebangsaan.

"Ini memberi motivasi terbaik untuk saya menjadi lebih baik dalam sesi latihan dan proses pemulihan.

"Mungkin terlihat sukar untuk kita layakkan diri ke final tetapi siapa tahu? Sudah lama kita tiada pelari pecut di Sukan Olimpik dan saya dapat peluang itu pada usia 20 tahun.

"Saya akan lakukan yang terbaik untuk mara ke separuh akhir. Dalam dunia kompetitif olahraga, tiada siapa yang tahu apa yang akan jadi semasa pertandingan," katanya.

Azeem sebelum itu menyumbang pingat emas acara 4x100m lelaki bersama Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal di Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNESA) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azeem akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institusi Sukan Negara (ISN) berkenaan persediaannya ke Paris 2024.

Jelas Azeem, dia mahu fokus proses pemulihannya akan tinggal di Malaysia untuk membuat persiapan dalam masa berbaki kurang satu bulan sebelum berentap ke temasya sukan beprestij itu.

"Saya mahu buat terbaik praktis dan proses sembuh, dalam tempoh yang tak lama dan tak terlalu singkat ini, fokus saya untuk recovery jaga badan saya.

"Balik daripada Indonesia saya mungkin akan duduk dengan ISN, MSN macam mana perjalanan saya ke Sukan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Azeem menambah koleksi emas kedua peribadi apabila memenangi acara 200m lelaki akhir di Lapangan Atletik FIK UNESA, pada Khamis dengan catatan 21.15s, kedua wakil Indonesia, Muhamad B Fitadi (perak. 21.43s) Ruamchok Semathong (Thailand, gangsa, 21.80s).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!