Israel tunjuk angkuh tapi sebenarnya goyah

Pejuang Hizbullah sentiasa bersiap siaga terhadap apa jua senario jika musuh mengalihkan tumpuan ofensif dari Gaza ke Lubnan. Foto AP
Pejuang Hizbullah sentiasa bersiap siaga terhadap apa jua senario jika musuh mengalihkan tumpuan ofensif dari Gaza ke Lubnan. Foto AP
A
A
A

PEJAM celik, pejam celik, Perang Gaza sudah berlarutan selama sembilan bulan. Ketika ini, muncul pula ancaman peperangan baharu yang lebih menakutkan di Asia Barat dan seluruh dunia kerana dikhuatiri menjadi titik tolak bermulanya Perang Dunia Ketiga.

Ketegangan semakin meningkat setelah kedua-dua seteru lama itu saling melancarkan perang retorik sejak beberapa minggu lalu. Peperangan antara dua musuh lama itu dikatakan semakin hampir setelah pertempuran rentas sempadan berterusan sejak fasa awal kempen genosid dilancarkan ke atas Genting Gaza.

Pemimpin Israel berulang kali membuat ugutan ke atas Beirut kononnya peperangan tersebut tidak dapat dielakkan, manakala pejuang Hizbullah pula menegaskan enggan berperang, namun sentiasa bersiap siaga terhadap apa jua senario jika musuh mengalihkan tumpuan ofensif dari Gaza ke Lubnan.

Jika perang itu benar-benar tercetus, ia bakal menjadi ‘malapetaka dahsyat’ di rantau tersebut dan berkemungkinan akan mengheret Amerika Syarikat (AS) serta Iran bersama proksi mereka sekali ke dalam konflik serantau berkenaan.

Matlamat utama berperang dengan Hizbullah sebenarnya semata-mata mahu ‘menyelamatkan’ kerjaya politik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang berdepan desakan supaya meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya awal.

Ia turut diakui Harrison Mann iaitu bekas pegawai Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) AS, Harrison Mann yang meninggalkan unit tersebut pada bulan lalu kerana menentang sokongan Washington terhadap Perang Gaza.

Menurutnya, muslihat Netanyahu sudah dapat dibaca kerana beliau perlu kekal sebagai pemimpin era perang jika mahu meneruskan karier politiknya yang sudah berada di hujung tanduk akibat penolakan besar-besaran penduduk Israel.

Pemimpin ‘ekstremis’ itu juga cuba mengambil peluang daripada perang baharu untuk mengelakkan diri daripada kes mahkamah yang masih berjalan.

Artikel Berkaitan:

Segala-galanya bermula pada Jun lalu apabila Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan angkuh memalu gendang perang dan menghebahkan persiapan untuk melancarkan ofensif ke atas Lubnan telah selesai meskipun mereka sedar tentang bahaya provokasi sedemikian.

Sebagai respons, Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah dengan tegas menyatakan tiada tempat di Tel Aviv akan terhindar daripada menjadi sasaran mereka jika berlaku perang berskala besar malah Cyprus yang cuba-cuba membantu Tel Aviv juga tidak terkecuali.

Pejuang Hizbullah dengan bangga turut memperkenalkan dan mempamerkan senjata canggih milik mereka hingga menyebabkan pemimpin IDF berasa ‘goyah’ dan mula sedar dengan kemampuan mereka yang semata-mata hanya bergantung kepada bekalan senjata AS.

Sebagai usaha meredakan sengketa itu, beberapa jeneral tertinggi IDF dikatakan menyokong gencatan senjata di Genting Gaza selepas Hizbullah pernah menegaskan konflik bersama mereka hanya akan berakhir jika pelaksanaan tempoh bertenang secara kekal di wilayah tersebut.

Laporan The New York Times pada awal minggu lalu yang memetik kenyataan beberapa pegawai tentera Israel mengakui mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk pertempuran seterusnya jika perang bersama Hizbullah tercetus.

Rejim Zionis tidak mengambil pengajaran daripada pertumpahan darah terakhir selama 34 hari antara Hizbullah-Israel pada 2006. Pada 2010, Giora Eiland, bekas jeneral tentera yang berkhidmat sebagai penasihat keselamatan negara di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon dan Ehud Olmert juga pernah mendedahkan Israel sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu menewaskan Hizbullah yang lebih hebat dalam mengatur strategi dan taktik peperangan.

Eiland yang memberi peringatan kira-kira 14 tahun lalu percaya tindakan Israel hanya akan memakan diri sendiri kerana mereka yang akan berdepan kebinasaan lebih teruk berbanding Hizbullah.

Persoalan sekarang, beranikah Israel menjolok ‘sarang tebuan’ atau ia hanya sebagai muslihat atau cakap besar untuk mengalihkan perhatian dunia terhadap perang genosid tiada kesudahan di Gaza.

* Marlissa Mohamad Kamal ialah Ketua Meja Global Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!