Kita masih tidak ambil iktibar Laporan Ketua Audit Negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MENGEJUTKAN! Itu reaksi spontan sebaik membaca laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 semalam yang mendedahkan beberapa syarikat kerajaan Persekutuan masih menghadapi masalah dalam mencapai objektif penubuhan serta mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil.

Antara syarikat yang disebut dalam laporan yang dibentangkan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi itu ialah Majlis Profesor Negara (MPN), Mara Incorporated Sdn Bhd dan MRT Corp.

Pengauditan dilakukan meliputi tahun 2019 hingga 2023 menerusi penilaian tadbir urus korporat, kedudukan kewangan serta pengurusan aktiviti utama syarikat.

MPN dikesan didapati menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan dan pelaksanaan program, Mara Incorporated pula berdepan pelbagai isu, antaranya pengurusan levi tertunggak serta proses pembayaran deposit tidak teratur bagi pembelian hartanah.

Sementara MRT Corp mempunyai kelemahan dalam pengurusan projek dan kawalan kos yang mengakibatkan pembaziran sumber dan kelewatan dalam pelaksanaan projek.

Turut dilihat menghadapi masalah ialah pengurusan projek Sungai Nadi Kehidupan (River of Life), program pemerkasaan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar, dan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Laporan turut mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek dan program kementerian, jabatan kerajaan Persekutuan serta badan berkanun. Ia melibatkan sembilan pengauditan ke atas 11 kementerian dengan nilai kos keseluruhan program dan projek yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Sama ada kita sedar atau tidak, setiap tahun pasti dikesan berlaku kepincangan dalam pengurusan sesuatu projek atau urus tadbir syarikat di bawah kerajaan Persekutuan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara.

Artikel Berkaitan:

Namun, selepas didedahkan kepada umum, apakah tindakan kerajaan atau pihak berkuasa?

Alasan kurang pemantauan, tiada penyelarasan antara agensi, serta kelemahan dalam polisi dan prosedur kerja yang menjadi faktor kepada kelemahan ini sewajarnya diberi perhatian agar tidak berulang lagi pada tahun-tahun akan datang.

Justeru, sudah tiba masanya Kerajaan Madani membuat reformasi dalam urus tadbir negara. Buatlah sesuatu yang drastik agar kecekapan dalam tatakelola organisasi di bawah kerajaan ini dapat dipertingkatkan lagi.