Lima pesanan untuk Muslimah dalam al-Quran

Sematkan semua titipan itu, cantikkan diri jadi wanita solehah sebaik-baik perhiasan dunia

WANITA solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. -Foto: Canva
WANITA solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia. -Foto: Canva
A
A
A

MENJADI Muslimah tidak mudah. Apatah lagi hidup pada era milenial dengan pelbagai rencam. Agak mencabar untuk mereka memainkan peranan masing-masing sama ada di dalam mahupun di luar rumah.

Maka beruntunglah bagi wanita solehah yang mampu menghadapi ujian dunia itu jika mereka terus berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Editor Kanan Al-Quran, Karya Bestari Sdn Bhd (Karya Bestari), Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil mengingatkan, terdapat banyak pesanan buat Muslimah untuk menjadi wanita solehah sebaik-baik perhiasan dunia seperti disebutkan dalam hadis masyhur.

USTAZ AMIRO ketika menjadi panel pada program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
USTAZ AMIRO ketika menjadi panel pada program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menerusi program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 yang diadakan di Surah Raudhah Al-Muttaqin di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, beliau berkongsikan proses untuk mencantikkan diri Muslimah dengan kesolehan berpandukan kalam ALLAH.

“Semua itu diperincikan dalam mashaf Al-Quran Al-Karim Muslimah terbitan Karya Bestari, khusus untuk wanita yang mengandungi 319 tafsir tematik membahaskan empat kategori utama dalam al-Quran iaitu hukum, ibrah, tokoh wanita dan akidah akhlak,” katanya ketika menjadi panel dalam program anjuran Persatuan Muballighat Negeri Selangor itu.

Artikel Berkaitan:

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Berikut perinciannya:

1. Al-Quran petunjuk bagi wanita bertakwa

Pada ayat kedua surah al-Baqarah, ALLAH SWT mengingatkan, al-Quran menjadi petunjuk kepada orang bertakwa.

Jelas Ustaz Mohamad Amiro Safwan atau lebih dikenali Ustaz Amiro, perincian tentang takwa ada dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Dalam surah al-Mukminun misalnya, ALLAH SWT memberi gambaran orang beriman itu ialah mereka yang takut kepada Tuhan sehinggakan setiap tindak-tanduk dilakukan begitu berhati-hati kerana bimbang apa yang dilakukan tidak diterima oleh-NYA.

“Benar, tiada siapa dapat menjamin setiap amalan dilakukan akan diterima oleh ALLAH walaupun dirinya bergelar seorang mufti atau agamawan sekalipun.

“Itu sebabnya kita melihat ada orang yang tiap-tiap tahun tidak pernah tinggal ibadah korban. Bukan kerana dirinya kaya ataupun mampu, tetapi sebab bimbang ibadah korbannya pada tahun-tahun sebelum ini tidak diterima oleh ALLAH.

“Begitu jugalah bakti wanita kepada suaminya. Dia akan lakukan semuanya kerana ALLAH kerana tidak tahu khidmat manakah yang dilaksanakan untuk pasangannya itu diterima-NYA,” katanya.

2. ALLAH menguji wanita dengan kesenangan dan kesukaran

SEBAGAIMANA hamba-NYA yang lain, ALLAH SWT turut menguji wanita dengan kesenangan dan kesukaran berdasarkan kemampuan masing-masing. -Foto: 123rf
SEBAGAIMANA hamba-NYA yang lain, ALLAH SWT turut menguji wanita dengan kesenangan dan kesukaran berdasarkan kemampuan masing-masing. -Foto: 123rf

Dalam ayat ke-168 surah al-A’raf, ALLAH SWT menyatakan DIA akan menguji hamba-NYA dengan nikmat yang baik dan bencana yang buruk agar mereka kembali kepada kebenaran.

Ustaz Amiro kemudian mengajak kita untuk menyelami kisah seorang wanita yang menangis di atas kubur, lantas Nabi Muhammad SAW bersabda 'Bertakwalah kepada ALLAH dan bersabarlah’ sepertimana direkodkan dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

“Bagaimanapun teguran Rasulullah itu tidak diendahkan, malah wanita tadi meminta Baginda untuk pergi kerana dia tidak tahu nabi yang menegurnya.

“Apabila tersedar, wanita itu meminta maaf dan Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya sabar itu hanyalah pada hari pertama daripada musibah itu’,” jelasnya.

3. Kasih sayang ALLAH lebih besar daripada kasih ibu terhadap anaknya

Jika sesama manusia pun kita diajar berterima kasih apabila diberikan bantuan dan sebagainya, inikan pula terhadap segala rahmat tidak terhitung dikurniakan ALLAH SWT kepada kita.

WALAUPUN kita melihat seorang ibu begitu mengasihi dan menyayangi anak-anaknya, tetapi kasih sayang ALLAH lebih besar jika dibandingkan dengannya. -Foto: Freepik
WALAUPUN kita melihat seorang ibu begitu mengasihi dan menyayangi anak-anaknya, tetapi kasih sayang ALLAH lebih besar jika dibandingkan dengannya. -Foto: Freepik

Dalam sebuah hadis, Umar bin Al-Khattab RA menghadap Rasulullah SAW dengan membawa beberapa tawanan. Di antara beberapa tawanan itu, terdapat seorang wanita sedang tercari-cari, lalu ketika mendapati seorang bayi dalam kalangan tawanan tadi, lantas dia mengambilnya dan memeluknya ke dada untuk disusukan.

Lalu Rasulullah bersabda: “Bagaimana pendapat kamu, adakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?” Kami menjawab: “Tidak, demi ALLAH, padahal dia mampu untuk melemparnya.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sungguh ALLAH lebih mengasihi hamba-NYA daripada wanita ini terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4) Hari kiamat yang dahsyat

Satu lagi pesanan kepada seluruh umat termasuk kaum Hawa adalah ALLAH SWT memberi gambaran kedahsyatan hari kiamat dalam al-Quran menerusi ayat ke-2 surah al-Hajj.

“DIA menggambarkan semua wanita yang menyusui anaknya akan lupa terhadap cahaya mata mereka dan perempuan hamil pula akan keguguran kandungannya.

“Semuanya dapat kita akan dapat saksikan sendiri apabila tiba harinya kelak,” katanya.

5. Mahalnya hidayah ALLAH dalam diri wanita

Ayat ke-29 dalam surah ar-Rum memberi penekanan hanya ALLAH sahajalah yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang sesat dan tiada sesiapa yang mampu menolongnya.

USTAZ AMIRO (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Persatuan Muballighat Negeri Selangor, Ustazah Masirah Maslan pada program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
USTAZ AMIRO (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Persatuan Muballighat Negeri Selangor, Ustazah Masirah Maslan pada program Daurah Fiqh Muslimah Dalam Al-Quran Siri 1 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Terdapat satu kisah tokoh wanita iaitu Ummu Sulaim binti Milhan yang menunjukkan bahawa hidayah ALLAH itu tiada tolok bandingnya menyapa sesiapa dikehendaki-NYA.

“Ibu kepada Anas bin Malik ini ditinggalkan suaminya, Malik bin Nadar kerana kebencian lelaki itu terhadap Islam. Beliau kemudian berkahwin dengan Abu Talhah, pemuda Madinah paling tampan, kaya dan kuat,” katanya.

Abu Talhah sebenarnya melamar Ummu Sulaim ketika beliau masih belum memeluk Islam. Keteguhan hatinya terhadap Islam benar-benar menyentuh hati Abu Talhah dan akhirnya membuat-kan beliau mengucap kalimah Tauhid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!