Ten Hag jurulatih paling konsisten, berjaya di Eropah - United
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag telah menandatangani lanjutan kontrak yang akan mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2026.
Sebelum ini, terdapat spekulasi mengenai masa depan ten Hag selepas kempen Liga Perdana 2023/24 yang kurang memuaskan, namun ia sedikit sebanyak diselamatkan apabila United berjaya melakar kemenangan mengejut 2-1 menentang Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA.
Media Britain bulan lalu melaporkan Ten Hag yang telah memenangi dua trofi dalam dua musim di Old Trafford akan kekal di kelab itu selepas semakan prestasi oleh kelab.
"Erik ten Hag telah melanjutkan kontraknya sebagai pengurus pasukan utama Manchester United sehingga Jun 2026," kata United dalam satu kenyataan.
Ten Hag mengakui ada kerja yang perlu dilakukan untuk cuba merapatkan jurang United dengan pasukan saingan Liga Perdana Inggeris.
“Mengimbas kembali dua tahun lalu, kami boleh merenung dengan bangga dua trofi dan banyak contoh kemajuan pasukan selepas saya menyertai pasukan.
“Bagaimanapun, kami juga mesti sedar bahawa masih banyak kerja keras di hadapan untuk mencapai tahap yang dijangkakan oleh Manchester United, yang bermakna mencabar untuk gelaran Inggeris dan Eropah.
"Dalam perbincangan saya dengan kelab, kami telah menemui kesepakatan dalam visi kami untuk mencapai matlamat tersebut, dan kami semua sangat komited untuk melakukan perkara itu bersama-sama," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Sukan Manchester United, Dan Ashworth menyifatkan dua trofi yang diraih pasukan dalam dua musim lalu membuktikan ten Hag telah mengukuhkan rekodnya sebagai salah seorang jurulatih paling konsisten dan berjaya dalam bola sepak Eropah.
“Walaupun semakan kelab pada musim lalu menyerlahkan penambahbaikan yang perlu dilakukan, ia juga mencapai kesimpulan yang jelas bahawa Erik adalah rakan kongsi terbaik untuk kami bekerjasama dalam meningkatkan standard dan hasil.
"Kumpulan pemain dan kakitangan ini sudah menunjukkan mereka mampu bersaing dan menang di peringkat teratas - kini kami perlu melakukannya dengan lebih konsisten," katanya.
Ten Hag, 54, menamatkan kemarau trofi selama enam tahun untuk United pada musim pertamanya dengan menjulang Piala Liga dan menduduki tempat ketiga dalam liga.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!