Selangor FC terharu sokongan, bukti kuasa rakyat dalam bola sepak
SELANGOR FC terharu dengan sokongan melalui sumbangan Tabung Solidariti kelab itu yang bukan hanya diterima daripada rakyat Selangor malah seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sokongan seluruh rakyat Malaysia itu membuktikan bahawa bola sepak bersifat menyatupadukan dan sukan kegemaran negara itu sememangnya milik rakyat.
"Kita di pihak Selangor FC amat berbesar hati dan sangat terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari (Liga Bola Sepak Malaysia) MFL mengumumkan keputusan mereka.
"Kita lihat di laman sosial pelbagai platform ramai pihak yang menawarkan diri untuk beri sumbangan. Seruan rakyat ini diambil oleh kerajaan negeri untuk membuat Tabung Solidariti ini tanpa penglibatan Selangor FC langsung.
"Apa yang kita lihat ini hanya membuktikan bola sepak itu memang milik rakyat," katanya.
Tabung Solidariti Bersama Selangor FC itu yang dibuka bermula 26 Jun lalu berjaya mengumpul sebanyak RM76,490.06 dan telah diserahkan kepada pasukan itu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu.
Sebelum ini, MFL telah menjatuhkan empat hukuman iaitu denda RM100,000, pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kemudian.
Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), akan dimainkan tanpa penonton.
Namun, hukuman tersebut dikurangkan dengan denda diturunkan kepada RM60,000 selain bermain dalam stadium kosong dan penolakan tiga mata dibatalkan selepas titah murka Sultan Selangor yang juga penaung Selangor FC Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan keputusan tidak berperikemanusian MFL itu.
Dalam pada itu, Johan turut menyifatkan rakyat melalui sumbangan tabung itu seolah-olah menyuarakan pendapat dan perasaan mereka apabila merasakan ada yang tidak betul dalam bola sepak negara.
"Apa yang rakyat rasa tidak betul mereka akan menyuarakan pendapat dan perasaan mereka. Mereka sentiasa lakukan yang terbaik untuk membetulkan apa yang mereka rasa tak betul.
"Pada akhirnya ia membuktikan kuasa rakyat dalam bola sepak," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!