Masjid bukan sekadar tempat ibadah

Ia merupakan dinamo yang mengalirkan hayat agama Islam, sama-sama kita imarahkannya

PELIHARALAH kesucian institusi masjid dan terus 'hidupkan' pelbagai aktiviti kebaikan di dalamnya. -Foto: Canva
PELIHARALAH kesucian institusi masjid dan terus 'hidupkan' pelbagai aktiviti kebaikan di dalamnya. -Foto: Canva
A
A
A

MASIH terdapat segelintir orang melihat masjid sekadar tempat untuk solat, kuliah, nikah, iftar dan ziarah kematian semata-mata.

Hakikatnya ia bukanlah medan untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kerohanian sahaja, tetapi juga merupakan sebuah institusi serta organisasi penting dalam susunan tahap sosial dan agama pada peringkat lokaliti.

Iktibar Mimbar Jumaat kali ini mengajak umat untuk merenung kembali sirah berkaitan rumah ALLAH itu supaya kita terus mengimarahkannya setiap detik.

Menelusuri historiografi, masjid menjadi institusi pertama dibina oleh Rasulullah SAW saat Baginda tiba ke kota Yathrib (Madinah) sewaktu peristiwa hijrah. Ia dikenali sebagai Masjid Quba'.

Bermula dari sebuah unit yang beratapkan dedaun tamar, pembinaan masjid kian bertambah dari satu tempat ke daerah lainnya.

“Sejak pembinaan masjid pertama, perkembangan dan pertambahan umat Islam akan pasti disusuli dengan pembinaan rumah ALLAH yang menjadi pusat kemasyarakatan umat di daerahnya,” kata khatib sebagaimana dipetik menerusi teks khutbat Jumaat bertajuk ‘Masjid adalah Wajah Kariah’ diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Jumaat lalu.

MAKMURKANLAH dan dampingi masjid sepanjang masa kerana kita merupakan jantung yang menggerakkan nadi masjid di dalam kariah masing-masing. -Foto: Canva
MAKMURKANLAH dan dampingi masjid sepanjang masa kerana kita merupakan jantung yang menggerakkan nadi masjid di dalam kariah masing-masing. -Foto: Canva

Artikel Berkaitan:

Bukan bangunan pegun

Sesungguhnya, masjid bukanlah bangunan pegun. Sebaliknya ia ‘hidup’ memainkan fungsi sosioekonomi dan keagamaannya yang begitu signifikan.

Siapa lagi kalau bukan kita umat Islam yang mengimarahkannya sekurang-kurangnya lima kali sehari, bukan?

“Masjid ialah institusi disiplin sosial. Azan yang dikumandangkan setiap lima waktu mengingatkan kita bahawa ada perkara yang lebih utama daripada kesibukan kerja.

“Bahkah, masjid merupakan madrasah yang mendisiplinkan umat Islam tentang bidang dan kuasa siapa imam serta siapa makmum,” katanya.

JHEAIPP kemudian menukilkan pandangan Abi Ishaq Asy-Syirazi dalam kitabnya, Al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam asy-Syafie yang menyebut: “Dimakruhkan seseorang menjadi imam solat bagi suatu kaum, sedangkan kebanyakan tidak menyukainya.”

“Para ulama menyatakan, penolakan terhadap imam itu kerana sifat fasiknya iaitu onar yang disaksikan dari sudut muamalah dan akhlak.

MASJID adalah dinamo yang mengalirkan hayat agama Islam. -Foto: Canva
MASJID adalah dinamo yang mengalirkan hayat agama Islam. -Foto: Canva

“Menurut hukum ibadah khususiyah, makmum dipertanggungjawabkan untuk menegur imam dengan tertib dan kaedah yang digariskan jika berlaku kesilapan,” katanya sambil menjelaskan masjid turut menjadi pusat muamalah.

Dari satu sudut, JHEAIPP menjelaskan, pendidikan dititipkan menerusi institusi tersebut tidak hanya melibatkan kelas agama khusus.

Buktinya, Anas bin Malik RA merekodkan: “Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi, lalu berdiri untuk kencing di masjid.

Rasulullah meminta sahabat membiarkan lelaki itu menyelesaikan hajatnya.

Selepas itu, Nabi Muhammad SAW memanggil lelaki tersebut dan menasihatinya: “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk berzikir, solat dan membaca al-Quran.” Baginda kemudian memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.

Kisah daripada hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari itu sarat dengan hikmah. Bukan sahaja mencerminkan kelembutan sikap Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah, bahkan JHEAIPP berkata, ia juga merupakan isyarat tentang kebijaksanaan masjid sebagai institusi pendidikan.

“Tiada herdikan, cacian mahupun amarah, tetapi masjid ialah pelita yang memancarkan syiar Islam yang indah. Malah, rumah ALLAH itu juga institusi pendamai, bukan pemecah.

MASJID bukanlah bangunan pegun, sebaliknya ia ‘hidup’ memainkan fungsi sosioekonomi dan keagamaannya yang begitu signifikan. -Foto: Canva
MASJID bukanlah bangunan pegun, sebaliknya ia ‘hidup’ memainkan fungsi sosioekonomi dan keagamaannya yang begitu signifikan. -Foto: Canva

“Masjid turut menjadi kelas tarbiah moral dan adab, di samping menjadi medan izzah (kemegahan) kepada seluruh umat Islam,” kata khatib.

Peranan ahli kariah

Pesona masjid yang megah berdiri seantero dunia begitu mengagumkan semua termasuk orang bukan Islam.

Setiap kali waktu solat, mereka terpegun kerana tempat suci itu didampingi dan diimarahkan.

Detik itulah kita menyaksikan para jemaah duduk sama rata memenuhi ruangan masjid walau apa jua status ekonomi mereka.

“Bayangkan semua yang hadir akan duduk separas di lantai untuk menunaikan solat berjemaah, mendengar khutbah dan kuliah,” katanya.

Bagaimanapun JHEAIPP mengingatkan, ia bukanlah bermakna pengoperasian masjid kita sudah sempurna. Sebaliknya, penambahbaikan perlu dilakukan demi menggapai keredaan ALLAH SWT.

“Ingatlah, masjid bukan sekadar mimbar, imam, makmum, pengerusi mahupun dananya. Pengimarahan masjid mempunyai kaitan dan gambaran langsung hakikat kita semua sebagai warga kariahnya,” katanya.

Justeru khatib mengingatkan, masjid adalah dinamo yang mengalirkan hayat agama kita.

IMARAH dan hidupkan masjid di kariah masing-masing demi menggapai keredaan ALLAH SWT. -Foto: Canva
IMARAH dan hidupkan masjid di kariah masing-masing demi menggapai keredaan ALLAH SWT. -Foto: Canva

Lesunya masjid dan keluh-kesah kariahnya merupakan antara tanda kemelut yang membelenggu umat.

“Ketahuilah, memakmur dan melazimi masjid adalah taklif ‘aini (tanggungjawab atas diri) kepada kita. Kitalah jantung yang menggerakkan nadi masjid di dalam kariah masing-masing.

“Jangan hanya menuding masjid seolah-olah ia merupakan organisasi asing daripada akidah yang kita anuti. Mengertilah, masjid dan keberadaannya ialah wajah kita sebagai kariahnya.

“Bahkan rumah ALLAH itu subur dengan keakraban kariah, manakala program dianjurkan dan sambutannya adalah gambaran nilai masyarakat setempat,” titipnya.

*Teks khutbah Jumaat disediakan Al-Hady Centre dan disiarkan menerusi laman web rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!