[VIDEO] Bersatu yakin kekuatan parti akan bertambah

A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin kekuatan parti berkenaan akan bertambah selepas penyertaan ahli baharu iaitu Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Khamis.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu sudah banyak menyertai program yang dianjurkan dan ia merupakan peluang kepadanya untuk memberi sumbangan kepada parti.

"Alhamdulillah, saya amat mengalu-alukan keputusan Noh Omar untuk menyertai Bersatu kelmarin. Beliau sebelum ini banyak menyertai program kita, malah turut sama-sama membantu Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa siri kempen pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil.

"Saya melihat kesediaan Noh Omar menyertai Bersatu secara rasmi adalah satu langkah tepat. Saya berdoa semoga hijrah beliau ke dalam wadah parti Bersatu akan meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada parti ini dan memperkukuhkan saf perjuangan PN menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti, insya-ALLAH," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Noh Omar mengesahkan menyertai Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Laporan Sinar Harian (kiri), Muhyiddin
Laporan Sinar Harian (kiri), Muhyiddin

Artikel Berkaitan:

Noh berkata, permohonan itu dibuat secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa dan keputusan itu dibuat selepas kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

Sehubungan itu, Noh memaklumkan, keputusan itu mendorong beliau mengubah fikiran untuk menjadi ahli Bersatu dan sudah mendapat sijil keahliannya.

Pada Rabu, permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah dengar cakap.

Pada Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!