Bekas jurutera elektrik hilang punca pendapatan terima sumbangan PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada bekas jurutera elektrik, Tan Men Heang, yang hilang punca pendapatan untuk menyara kehidupannya bersama isteri setelah menghidap angin ahmar.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata, isteri Men Heang juga sukar untuk bekerja kerana menghadapi masalah kaki yang menyukarkan dirinya untuk bergerak.
Sumbangan itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau dalam sesi Ziarah Madani, bagi meringankan beban kos perubatan yang ditanggung Men Heang dan isteri.
"Saya titipkan doa memohon kesejahteraan dan kekuatan untuk mendepani dugaan dan meneruskan kehidupan,” katanya menerusi catatan itu.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!