Statistik jenayah IPD Kuala Selangor turun negatif 20 peratus

Ramli (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Mohd Ambia (kanan) sambil disaksikan Hussein (tengah) pada majlis itu pada Jumaat.
Ramli (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Mohd Ambia (kanan) sambil disaksikan Hussein (tengah) pada majlis itu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Statistik indeks jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menunjukkan penurunan negatif 20 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, pada tahun lalu indeks jenayah hanya mencapai penurunan negatif 15 peratus.

"Sudah tentu saya bertekad untuk memastikan kecemerlangan IPD Kuala Selangor menurunkan indeks jenayah dapat diteruskan pada bulan berikutnya," katanya selepas Majlis Serah dan Terima Tugas di IPD Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Majlis serah dan terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Pada majlis itu, turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Kuala Selangor antara isteri Ramli, Nasibah Ahmad kepada isteri Mohd Ambia, Norzehan Hashim.

Mohd Ambia mengambil alih tugas itu daripada Asisten Komisioner (ACP), Ramli Kasa yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perancangan Strategik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 27 Jun lalu.

Sementara itu, Ramli memberitahu, kejayaan penurunan indeks jenayah di daerah itu hasil kerjasama semua anggota dan pegawainya dalam menjalankan tugasan.

"Kejayaan ini bukanlah atas usaha saya bersendirian, tetapi ini hasil dedikasi dan komitmen semua polis di daerah ini dalam usaha mengekang kegiatan jenayah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara kes kejayaan beliau termasuk menyelesaikan kes seorang lelaki memenggal kepala ibunya hingga maut dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, pada 16 Januari 2022.

"Kes ini kami berjaya menuduh suspek terlibat dan telah membawa kepada pertuduhan di mahkamah dan telah pun selesai," tambah beliau.

Ramli memberitahu, masyarakat disaran untuk terus menyalurkan kerjasama membanteras sebarang aktiviti perlakuan jenayah bagi memastikan usaha mencegah jenayah dapat dilakukan secara berterusan.

"Kita juga berharap masyarakat terutama ibu bapa memantau anak-anak mereka kerana perlakuan jenayah boleh berlaku dalam semua aspek termasuk gangguan halusinasi.

"Halusinasi ini juga antara penyakit yang mendorong kepada perlakuan jenayah tidak diingini," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!