Pemandu maut kereta bertembung pacuan empat roda
TAWAU - Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan pacuan empat roda di kawasan lampu isyarat Fujimart, Jalan Kuhara pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, mangsa Tsen Yeak Yang, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan kejadian melibatkan pacuan empat roda jenis Land Cruiser jenis Toyota Prado yang dipandu lelaki berusia19 tahun dan kereta Toyota Vios yang dipandu mangsa.
Menurutnya, ketika kejadian, pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Taman Semarak ke Bandar Tawau manakala mangsa dari arah Fujimart menuju ke Taman May Flower, Jalan Kuhara.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung di bahagian tengah jalan sehingga menyebabkan pacuan empat roda berpusing dan melanggar tiang lalu terbabas sejauh 105 meter sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Sementara itu, kereta Toyota Vios terbabas sejauh 155 meter ke bahu jalan kiri menuju bandar Tawau dan menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian pemandu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Katanya lagi, mangsa kemudian dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.
"Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal di tempat kejadian manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 pagi.
"Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas seterusnya mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!