Serangan Gastropoda: Elak aktiviti air di perairan Mersing
JOHOR BAHRU - Jabatan Perikanan Negeri Johor memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dan menjauhi aktiviti berkaitan air di perairan Mersing berikutan kehadiran 'gastropoda' di perairan berkenaan ketika ini.
Timbalan Pengarahnya, Nurhuda Ibrahim berkata, gastropoda yang dikenal pasti sebagai Petropoda merupakan antara organisma akuatik berbahaya dan mempunyai sengat yang boleh memudaratkan manusia.
Menurutnya, kehadiran organisma akuatik itu dikesan pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, pada 11 Jun lalu di kepulauan Mersing.
"Petropoda berasal dari perairan tropika dan subtropika. Perubahan iklim, peningkatan suhu air dan air 'ballast' perkapalan dipercayai menjadi punca penyebaran spesis ini ke perairan Malaysia.
"Moluska ini mempunyai sengat yang boleh menyebabkan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik.
"Kesan ini ada kaitan dengan tindak balas hipersensitif pada bahagian kulit manusia. Dapatkan rawatan perubatan segera jika terkena sengatan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut Nurhuda, pihaknya akan memantau kehadiran organisma akuatik berbahaya tersebut sehingga situasi selamat.
"Serangan ini bukan kali pertama, dimaklumkan oleh penyelidik jabatan dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, memang ada sebelum ini tetapi tidak berlaku rebakan sebanyak ini.
"Serangan ini dijangka berakhir selepas peralihan monsun," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!