Tiga sekawan curi motosikal masuk 'jerat'

Mohamad Lazim (tiga kanan) menunjukkan antara komponen yang dirampas susulan penahanan tiga suspek di sekitar ibu negara, pada 26 Jun lalu.
Mohamad Lazim (tiga kanan) menunjukkan antara komponen yang dirampas susulan penahanan tiga suspek di sekitar ibu negara, pada 26 Jun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan tiga sekawan mencuri motosikal di sekitar Wangsa Maju, di sini, terbongkar selepas dicekup di Taman Ibu Kota Setapak, di sini, pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 21 hingga 28 tahun berkenaan ditahan menerusi Op Roda/Lejang jam 1.30 pagi.

Menurutnya, serbuan berasingan itu berjaya merampas empat motosikal Yamaha 135LC, sebuah motosikal model Honda serta beberapa komponen dan rangka motosikal.

Motosikal dan komponen yang dirampas polis pada 26 Jun lalu
Motosikal dan komponen yang dirampas polis pada 26 Jun lalu

"Berdasarkan rampasan itu, kami percaya berjaya menyelesaikan empat kes curi motosikal di daerah ini yang dipercayai didalangi tiga rakan sepenjenayah terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, modus operandi geng itu adalah menyasarkan motosikal yang diletakkan di tempat sunyi dan motosikal tidak berkunci.

Tambah Mohamad Lazim, suspek tidak bekerja itu memiliki beberapa rekod atas pelbagai kesalahan jenayah.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan pembabitan mereka dengan kes ini selain penglibatan di beberapa daerah lain," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Hotline Polis Wangsa Maju 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!