[VIDEO] Simpan alat pemadam api dalam kedai, pengusaha stesen minyak dikompaun

A
A
A

IPOH - Bimbang dicuri dan vandalisme. Itulah alasan yang diberikan pengusaha selepas dikesan gagal menempatkan alat pemadam api di setiap pam minyak di premis masing-masing.

Pemeriksaan Op Terjah Alat Pemadam Api (APA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak pada Khamis mendapati pemilik premis bertindak telah menyimpan alat pemadam api di dalam kedai serbaneka selepas jam 10 malam.

Tindakan itu menyebabkan usaha pelanggan atau pekerja mencegah kebakaran terutama ketika mengisi minyak di peringkat awal gagal dilakukan.

Sayani (kiri) menunjukkan tindakan pemilik stesen minyak yang melanggar kesalahan menyimpan alat pemadam api dalam premis dan bukannya diletakkan di setiap pam seperti digariskan dalam Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Pasukan bomba memeriksa alat pemadam api yang disimpan dalam kedai pada Op Terjah APA di Ipoh pada malam Khamis.
Pasukan bomba memeriksa alat pemadam api yang disimpan dalam kedai pada Op Terjah APA di Ipoh pada malam Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, kesemua 35 balai bomba seluruh negeri telah menjalankan pemeriksaan serentak di 135 stesen minyak seluruh negeri.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan, sebanyak 124 kompaun bernilai RM12,700 telah dikeluarkan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

"Kita mendapati kebanyakan stesen minyak apabila waktu malam mereka menyimpan alat pemadam api dalam premis perniagaan dengan alasan bagi tujuan keselamatan dari kacau ganggu atau vandalisme dan kecurian.

"Tetapi ini tidak bertepatan dengan peraturan kebombaan yang mana menetapkan bahawa alat pemadam api mesti diletakkan di tempatnya bagi memastikan keselamatan stesen minyak ini dan perlindungan dari segi kebakaran dan keselamatan," katanya kepada pemberita di sini.

Pegawai bomba mengeluarkan kompaun kepada pengusaha stesen minyak selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.
Pegawai bomba mengeluarkan kompaun kepada pengusaha stesen minyak selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Sayani berkata, pemeriksaan itu merupakan satu peringatan kepada pengusaha stesen minyak dan orang awam untuk prihatin dari segi aspek keselamatan.

"Jangan kita memikirkan aspek keuntungan tetapi aspek keselamatan kebakaran kita terlepas pandang atau terabai kerana ia sangat penting sebagai satu medium utama mencegah kebakaran di peringkat awal.

"Sekiranya peralatan yang diperlukan untuk memadam kebakaran tidak berada di tempatnya, itu menyebabkan risiko kebakaran meningkat dan kemungkinan kebakaran yang lebih serius berlaku," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!