Representasi pegawai SPRM, Datuk Roy kaji kes rasuah ditolak

Datuk Roy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta rasuah RM2.4 juta dan satu tuduhan menerima suapan RM240,000, Februari tahun lalu.
Datuk Roy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta rasuah RM2.4 juta dan satu tuduhan menerima suapan RM240,000, Februari tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang ahli perniagaan, dikenali Datuk Roy.

Representasi itu ialah bagi mengkaji dua pertuduhan rasuah RM640,000 yang mengaitkan anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua tertuduh itu ialah, Mohd Rasyidi Mohd Said, 44, dan Datuk Roy atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir, 55.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata demikian ketika prosiding kes di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

“Representasi yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh, pada 1 Julai lepas telah ditolak oleh AGC semalam,” katanya.

Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian mengesahkan perkara berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 dan 9 Ogos depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama secara rasuah meminta untuk diri mereka atau bagi orang lain suatu suapan wang tunai berjumlah RM400,000 daripada Siti Dalena Berhan, 48.

Artikel Berkaitan:

Ia sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Datuk Fakhri Yassin Mahiaddin semasa siasatan pihak SPRM, di sebuah restoran di Bangsar, di sini, antara 9 dan 11 malam, 5 Mac tahun lalu.

Mereka juga didakwa menerima suapan untuk diri mereka atau bagi orang lain iaitu wang tunai berjumlah RM240,000 daripada Syed Farid Syed Al Attas, 42, sebagai dorongan untuk tidak menahan reman individu sama semasa siasatan pihak SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas, di sini, antara jam 2 dan 4 petang, 6 Mac tahun sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohd Hussien turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan meminta rasuah wang berjumlah RM2 juta untuk dirinya daripada Siti Dalena dan Syed Farid.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi oleh ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Melayu Kepong, di sini, pada Februari 2023 dan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Suzana membenarkan Mohd Hussein diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala Mohd Rasyidi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM Kuala Lumpur sehingga kes selesai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!