Kajian IDE dan pemerhatian Amanah sama, PH boleh menang - Mahfuz

Mahfuz (enam kanan) bersama Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang (tengah) semasa turun berkempen membantu calon PH di PRK Sungai Bakap.
Mahfuz (enam kanan) bersama Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang (tengah) semasa turun berkempen membantu calon PH di PRK Sungai Bakap.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Parti Amanah Negara yakin bahawa calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin mempunyai peluang cerah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu berdasarkan dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE).

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, hasil pemerhatian mereka juga hampir sama dengan apa yang diperoleh oleh pusat kajian itu selepas turut padang membantu kempen calon PH berkenaan.

“Sepanjang saya berada selama tujuh hari di sini, saya mendapati setiap kali turun padang sambutan rakyat terhadap calon PH dari Kerajaan Persekutuan ini sangat tinggi.

“Hal ini kerana mereka tidak mempunyai pilihan kerana perlukan seorang wakil Melayu Islam dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya semasa ditemui di Dataran Sungai Kechil, di sini pada petang Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas laporan PH berpeluang merampas kembali DUN Sungai Bakap jika koalisi Kerajaan Perpaduan mampu menarik sokongan 36 peratus daripada pengundi Melayu pada PRK Sabtu ini.

Pengerusi Eksekutif IDE, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, melalui kaji selidik yang dijalankan, PH memerlukan sokongan kaum India di tiga pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Sungai Bakap (20 peratus), Puteri Gunong (26 peratus) dan Ladang Sempah (25 peratus).

Katanya, kajian itu juga mendapati koalisi PH-BN mendapat sokongan sebanyak 53.2 peratus sementara Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan 43 peratus manakala 3.8 peratus lagi adalah pengundi atas pagar.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang berkata, beliau juga melihat gerak kerja parti-parti gabungan PH dan BN berada pada tahap terbaik menuju hari-hari terakhir kempen PRK itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama dan hubungan yang ditunjukkan oleh semua parti dalam gabungan itu juga dilihat semakin erat.

“Gerak kerja Alhamdulilah dan bagi saya ini adalah yang terbaik membabitkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. Kalau saya nilai kerjasama seperti di PRK Padang Serai dengan PRK Sungai Bakap adalah sangat meningkat dan menunjukkan kita telah melalui proses persefahaman yang sangat baik antara semua parti-parti.

“Persefahaman yang baik ini telah membantu memudahkan kita untuk mendekati pengundi-pengundi (di PRK Sungai Bakap),” ujarnya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Joohari dan calon PN, Abidin Ismail susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!