KKM digesa kuat kuasa undang-undang keselamatan makanan - CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dengan tegas. Gambar kecil: Mohideen
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dengan tegas. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dengan tegas.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat berikutan kejadian kes keracunan makanan yang berlaku baru-baru ini dilihat mempunyai kaitan dengan ketidakpatuhan peraturan keselamatan makanan.

Menurutnya, kelaziman kes keracunan makanan terutamanya dalam kawasan sekolah telah menimbulkan ancaman besar kepada kesihatan dan keselamatan awam.

"Dalam tempoh enam bulan tahun ini sahaja, banyak insiden keracunan makanan dilaporkan yang mana, ia menekankan betapa mendesaknya keperluan bagi menangani isu ini. Murid sekolah menjadi mangsa utama insiden keracunan makanan di seluruh negara.

"Kanak-kanak dengan sistem imun yang mudah terjejas lebih mudah dijangkiti keracunan makanan. Terbaru, 99 pelajar dan guru sekolah menengah di Batu Pahat, Johor mengalami gejala keracunan makanan selepas makan makanan di kantin sekolah.

"Lebih teruk, ada yang meninggal dunia kerana keracunan makanan selepas menghadiri program di sekolah. Selain di sekolah, ada juga kes maut melibatkan seorang wanita meninggal dunia selepas makan sandwic di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Kemaman, Terengganu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohideen berkata, kes keracunan makanan yang tinggi di negara ini sebahagiannya adalah disebabkan oleh keadaan iklim dan ciri biasa masakan.

"Iklim yang panas, lembap serta gabungan pelbagai bahan mentah dalam masakan biasa Malaysia boleh meningkatkan kemungkinan pencemaran dan kerosakan makanan yang sering mengakibatkan peningkatan insiden keracunan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Faktor lain yang boleh membawa kepada insiden keracunan makanan ialah pencemaran silang dan amalan pencairan dan memasak yang tidak betul disebabkan oleh amalan pengendalian makanan yang lemah atau tidak mencukupi daripada pengendali makanan," ujarnya lagi.

Kata beliau, lokasi paling biasa di mana keracunan makanan dilaporkan ialah sekolah awam, dengan bilangan kes tertinggi di dapur sekolah berasrama penuh diikuti kantin sekolah.

"Dapur umum di sekolah berasrama penuh yang direka untuk menyimpan sejumlah besar bahan mentah untuk dimasak lebih mudah terdedah kepada kerosakan makanan.

"Langkah-langkah kawalan makhluk perosak yang lemah dan peningkatan risiko pencemaran silang semasa pengendalian makanan termasuk pengangkutan dan penghantaran bahan mentah serta makanan yang dimasak antara faktor yang menyumbang kepada keracunan tersebut.

"Selain itu, kawalan yang tidak mencukupi terhadap proses pembuatan seperti kawalan suhu dan keadaan penyimpanan juga dikenal pasti sebagai faktor kritikal yang menyumbang kepada perkara itu," tambah beliau lagi.

Oleh demikian kata Mohideen, pendidikan yang disasarkan bagi pengendali makanan adalah penting untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai keselamatan makanan.

"Pengendali makanan juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai penyakit bawaan makanan yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta amalan masa depan yang berkaitan dengan keselamatan makanan.

"Oleh itu, CAP menggesa KKM melaksanakan pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala ke atas premis makanan serta mendidik pengguna melalui media sosial mengenai cara mencegah keracunan makanan," katanya.

Mohideen turut menasihatkan pengguna supaya meningkatkan standard mereka dan berhenti mengunjungi kawasan perniagaan yang tidak bersih.

"Ini adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi tekanan kepada penjual makanan supaya tidak meneruskan amalan tidak bersih mereka," katanya.