RM360,000 untuk 17 sekolah terjejas banjir di Sabah

Mohd Arifin (dua dari kiri) bersama wakil sekolah yang menerima sumbangan daripada TPNS yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu.
Mohd Arifin (dua dari kiri) bersama wakil sekolah yang menerima sumbangan daripada TPNS yang diadakan di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak RM360,000 disalurkan kepada 17 sekolah yang terjejas akibat banjir di Sabah menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sekolah yang terlibat menerima bantuan adalah dari daerah sekitar Penampang, Tuaran, Kota Kinabalu, Membakut dan Sipitang.

"Saya sempat melawat beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah (SM) Saint (St) Michael, Sekolah Kebangsaan (SK) Kibabaig, dan semalam di SK Rampayan.

"Jadi kita melihat sekolah ini perlu dibantu dan sedikit sumbangan daripada TPNS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM360,000 untuk 17 sekolah yang terjejas iaitu bagi sekolah rendah masing-masing menerima RM20,000 manakala SM St Michael menerima RM40,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan daripada TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.

Mohd Arifin sebelum itu mempengerusikan mesyuarat TPNS bersama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ahli jawatankuasa TPNS.

Katanya, dalam mesyuarat itu juga turut diluluskan permohonan untuk memberikan cermin mata kepada pelajar sekolah di negeri ini.

"Hari ini kita juga meluluskan beberapa permohonan termasuk daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) berhubung pelajar kita yang memerlukan cermin mata.

Artikel Berkaitan:

"Lebih kurang 5,000 pelajar kita yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) memerlukan cermin mata dan ia akan dilaksanakan pada tahun ini juga sebelum mereka menduduki peperiksan," katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, sebanyak RM57 juta dana dalam TPNS dan setakat ini kira-kira RM5 juta telah dimanfaatkan daripada tabung ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!