[VIDEO] 'Selamat tinggal anakku Hafiz Fauzan, bersemadilah dengan tenang'

A
A
A

BATU PAHAT - "Selamat tinggal anakku, Hafiz Fauzan bersemadilah kamu dengan tenang disisi ALLAH SWT."

Itu antara ungkapan pilu Abdul Halid Sugiman, 44 ketika membaca talkin pada pengebumian anaknya Hafiz Fauzan, 17 yang dilaporkan hilang sebelum rangkanya ditemui dalam kebun durian berdekatan Kompleks Penghulu Mukim Linau.

Suasana hiba menyelubungi pengebumian jenazah Hafiz Fauzan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, pada Jumaat, tatkala ayahnya membacakan talkin sebagai penghormatan terakhir dan tanda kasih sayang kepada anaknya itu.

Jenazah Allahyarham Hafiz Fauzan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada Jumaat.
Jenazah Allahyarham Hafiz Fauzan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada Jumaat.

Abd Halid Sugiman, 44 dengan nada tenang mengucapkan selamat tinggal buat selamanya dan mendoakan roh anak ketiganya daripada tujuh beradik itu dicucuri rahmat.

Guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayong mengakui, biarpun jasad Hafiz Fauzan sudah tiada namun perasaan rindu dan kasih tidak pernah terpadam.

“Akhirnya, pencarian selama sebulan telah menemukan jawapan biarpun jasad sudah tiada tapi perasaan rindu dan kasih tak pernah kurang pun.

“Alhamdullilah, dia pergi dengan baik, dia juga seorang anak yang baik untuk kami sekeluarga dan mudah-mudahan dia ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ABDUL HALID
ABDUL HALID

Akui Abdul Halid, kenangan terindah bersama Hafiz Fauzan, apabila anaknya itu memenangi tempat ketiga dalam acara sukan merentas desa awal tahun ini.

“Lepas dia menang, dia terus naik ke bilik guru jumpa saya dan guru-gurunya yang lain untuk memberitahu dia menang acara itu.

“Memang dia seorang yang suka bersukan dan minat main bola sepak,” katanya.

Jenazah Allaryarham Hafiz Fauzan selamat dikebumikan kira-kira jam 12.15 tengah hari yang dihadiri lebih 100 orang terdiri daripada saudara terdekat, kenalan serta penduduk kampung.

Abdul Halid ( duduk) membacakan talkin buat anaknya Hafiz Fauzan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada Jumaat. Gambar kecil: Hafiz Fauzan
Abdul Halid ( duduk) membacakan talkin buat anaknya Hafiz Fauzan di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada Jumaat. Gambar kecil: Hafiz Fauzan

Sebelum itu, jenazah Hafiz Fauzan dituntut ahli keluarga kira-kira jam 10.30 pagi di Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail sebelum dibawa ke Surau Al-Mujahirin Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah di sini, untuk disembahyangkan.

Pada Khamis, identiti rangka manusia yang ditemui dalam kebun durian di Jalan Muar-Yong Peng, bersebelahan Kompleks Penghulu Mukim Linau, bulan lalu dikenal pasti milik Hafiz Fauzan.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan ibu bapanya melalui sampel diambil pada hari penemuan rangka di Jalan Yong Peng-Muar, pada 25 Jun lalu.

Hafiz Fauzan yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Parit Raja dilaporkan hilang selepas keluar menonton perlawanan bola sepak, bersama rakannya pada malam 25 Mei di Parit Ju, Tongkang Pechah namun didapati tidak pulang ke rumah keesokan hari.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga untuk mencari Hafiz Fauzan yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Pada 25 Jun lalu, rangka manusia ditemui bersama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti yang dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Turut ditemui jaket dan juga topi keledar dipercayai digunakan mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!