Pengarah syarikat didakwa pindah wang lebih RM3 juta tanpa kelulusan mesyuarat agung

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat perkhidmatan perunding kewangan dan pelaburan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan wang syarikat lebih RM3 juta ke dalam akaun bank miliknya tanpa kelulusan mesyuarat agung syarikat berkenaan, empat tahun lepas.

Yee Ho Yong, 32, didakwa sebagai pengarah syarikat Golden Summit Academy Sdn Bhd telah memindahkan wang RM3,149,000 ke dalam akaun Maybank miliknya tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat berkenaan untuk mendapatkan manfaat secara langsung kepada dirinya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Sentul di sini, antara 16 Februari 2020 dan 24 Disember 2022, mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama.

Akta itu memperuntuk hukuman penjara maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Lim Chi Chau yang mewakili Ho Yong memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: