Ubi muda Selangor FC sertai kelab Jepun
PEMAIN muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil akan menyertai kelab Liga J3 Jepun, FC Osaka secara pinjaman musim ini.
Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, Muhammad telah tamat sesi percubaan pada 2 Julai lalu bersama Osaka sekali gus berjaya menambat hati kelab Jepun itu.
"Kelab itu menyatakan mereka menaruh harapan kepada kemampuan Muhammad terutamanya dalam bahagian serangan selepas dia menjaringan beberapa gol semasa sesi percubaan.
"Osaka juga menyifatkan gerakan serangan Muhammad adalah yang terbaik dalam pasukan sepanjang dia bersama mereka. Selaras dengan misi mereka untuk menaikkan nama Osaka, mereka dengan berbesar hati menawarkan Muhammad kedudukan dalam skuad FC Osaka secara pinjaman," kata kenyataan itu.
FC Osaka kini berada di tempat ketiga liga berkongsi mata bersama pasukan di tempat kedua, Azul Claro Numazu dalam saingan Liga J3.
Muhammad merupakan antara pemain muda yang telah beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain kesebelasan utama sekali gus berjaya membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super bersama skuad utama Gergasi Merah dalam tahun yang sama.
Atas pencapaian itu juga, dia juga telah mendapat panggilan kebangsaan bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!