Ikan yu 300kg masuk pukat nelayan

Seekor ikan yu seberat kira-kira 300kg memasuki pukat yang ditahan nelayan di Pantai Telaga Papan di Setiu, Terengganu.
Seekor ikan yu seberat kira-kira 300kg memasuki pukat yang ditahan nelayan di Pantai Telaga Papan di Setiu, Terengganu.
A
A
A

SETIU - Seekor ikan yu dianggarkan seberat 300 kilogram berjaya ditangkap sekumpulan nelayan di Pantai Telaga Papan di sini setelah memasuki pukat yang ditahan mereka pada malam Rabu.

Menurut pembekal ikan, Jamaluddin Mohamad, 57, ikan yu berkenaan disedari memasuki pukat itu ketika aktiviti mengangkat ikan ke atas kapal.

"Kehadiran ikan yu itu disedari ketika proses membawa naik ikan ke darat. Waktu itu ia sudah tidak bermaya dan proses mengangkatnya tidak mengambil masa terlalu lama.

"Kita percaya ikan tersebut masuk ke dalam pukat untuk memakan ikan-ikan kecil yang berada di dalamnya. Mungkin ia tersangkut dan tidak berjaya melepaskan diri," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Menurut Jamaluddin, ikan yu itu kemudian dipindahkan ke darat menggunakan bot kecil dengan kekuatan lebih 10 lelaki dewasa.

"Proses memindahkan ikan ini mengambil sedikit masa memandangkan ia adalah ikan terbesar dan pertama kali di daratkan di pantai ini.

"Sebelum ni, kita pernah tangkap seekor ikan yu seberat 200kg di lokasi yang sama pada tahun lalu," katanya.

Jamaluddin memberitahu, ikan yu bersaiz besar yang biasanya digemari oleh kaum Cina dan India itu telah dijual kepada seorang pemborong dari Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau di Terengganu ini kita biasa dapat permintaan tinggi untuk ikan yu saiz kecil. Jarang ada permintaan ikan saiz besar ni.

"Lagipun ikan-ikan saiz besar ini jarang ada dan kita tidak tangkap melainkan jika ia memasuki perangkap seperti pukat yang ditahan dan telah lemah.

"Sebab itulah ikan itu akan dibawa naik dan dijual kepada mereka yang berminat," ujarnya.

Khamis lalu, video berdurasi 24 saat yang memaparkan proses membawa naik ikan yu tersebut ke daratan tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!