Maritim selamatkan tiga nelayan Indonesia, bot dinaiki hanyut

Tiga nelayan warga Indonesia yang diselamat selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut memasuki perairan negara, 3 Julai lalu.
Tiga nelayan warga Indonesia yang diselamat selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut memasuki perairan negara, 3 Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang berjaya menyelamatkan tiga nelayan warga Indonesia selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan sebelum hanyut memasuki perairan negara pada 3 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Pahang, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot terbabit ditemui Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Perantau kira-kira jam 1 tengah hari kira-kira 42 batu nautika timur laut Pulau Tioman.

Menurutnya, kapal KD Perantau telah menunda bot terbabit ke lokasi kira-kira 2.1 batu nautika tenggara Kampung Juara, perairan Pulau Tioman untuk diserahkan kepada Maritim Malaysia.

"Sebaik menerima laporan terbabit, bot ronda Perkasa 1246 telah diatur gerak ke lokasi tersebut.

"Bot nelayan asing itu ditunda dengan bantuan bot nelayan tempatan ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading dan selamat tiba kira-kira jam 9 malam pada Khamis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bot nelayan Indonesia yang ditemui hanyut ditunda ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading dan selamat tiba kira-kira jam 9 malam, pada Khamis.
Bot nelayan Indonesia yang ditemui hanyut ditunda ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading dan selamat tiba kira-kira jam 9 malam, pada Khamis.

Zainudin berkata, mangsa yang ditemui selamat di atas bot tersebut terdiri tekong, Shahbuddin, 50, bersama dua kru, Firdaus, 42, dan Reno Hernandes, 32.

"Pihak kami telah menghubungi keluarga mangsa untuk pengesahan identiti sejurus tiba di jeti.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan maklumat daripada mangsa, bot KM Bintang Jaya 9 yang mereka naiki dari Tanjung Balai Karimun, Natuna, Indonesia mengalami kerosakan dan hanyut selama enam hari hingga memasuki perairan negara sebelum ditemui," jelasnya.

Beliau berkata, MRSC Kuantan telah menghubungi pihak Badan SAR Nasional Indonesia (Basarnas) untuk mendapatkan pengesahan laporan kehilangan bot terbabit.

"Pihak Basarnas mengesahkan bot terbabit dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari yang lalu.

"Susulan itu, pemakluman situasi kejadian dimaklumkan kepada pihak Konsulat Indonesia dan masih menunggu maklum balas rasmi oleh Basarnas," katanya.

Sementara itu, Zainudin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat.

"Sebarang laporan berkait kecemasan di laut boleh disalurkan terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!