Pelajar Bangladesh dalang 'jual' pasport palsu
KUALA LUMPUR - Sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi lelaki warga Bangladesh dengan berselindung di sebalik pas pelajar ditumpaskan dalam serbuan di Chow Kit, di sini pada Khamis.
Serbuan pada jam 8.30 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan di hadapan sebuah hotel sebelum dipandu arah ke satu bilik hotel terbabit yang dijadikan sebagai markas aktivitinya.
Katanya, semakan mendapati suspek memiliki pas pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen.
"Serbuan di bilik itu telah merampas sebuah komputer riba, mesin pencetak serta 45 naskhah pasport disyaki palsu terdiri daripada pasport Bangladesh (37 naskhah), pasport India (2 naskhah) dan pasport Indonesia (6 naskhah).
"Kita turut merampas puluhan keping kulit pasport Bangladesh, India, Indonesia, Filipina, Nepal selain dokumen e-visa elektronik dan borang pemeriksaan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) disyaki palsu, kertas yang bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek bergerak secara individu dengan menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport palsu kepada warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan.
Katanya, sindiket yang dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu ini menggunakan pasport tersebut untuk mendapatkan dokumen Fomema.
"Bayaran yang dikenakan sebanyak RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport dan dipercayai menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 naskhah pasport sehari," ujarnya.
Tegasnya, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Seorang lelaki tempatan juga diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!