PAJSK: Maahad Tahfiz Negeri Pahang patuhi garis panduan KPM

MTNP telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
MTNP telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
A
A
A

KUANTAN - Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) telah mematuhi semua garis panduan pelaksanaan dan pengumpulan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Mohd Lafzul Muda berkata sedemikian susulan penularan hantaran 'Rezeki Tertangguh Berjemaah' yang di laman Facebook salah seorang penjaga pelajar yang telah tular berkaitan PAJSK.

Menurutnya, MTNP juga telah menghantar markah kepada pihak KPM mengikut ketetapan masa dan kaedah sebagaimana arahan di dalam surat-surat KPM yang dikeluarkan kepada maahad terbabit.

"MTNP telah segera berhubung dengan pihak KPM, KPT, asasi universiti- universiti serta badan-badan penaja dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak-pihak yang berkenaan.

"MTNP mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan semua pihak terhadap perkara ini. Sekian, terima kasih," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini nama MTNP terkenal selepas kejayaan mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.07 dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 sekali gus mengatasi sekolah-sekolah berprestasi tinggi di negara ini.

MTNP juga berjaya mengekalkan pencapaian terbaik dalam SPM di Pahang untuk tempoh 10 tahun berturut-turut selepas ditubuhkan pada 1996.

Hantaran tular ‘Rezeki Tertangguh Berjemaah’ oleh seorang wanita yang dikatakan ibu kepada pelajar dari sekolah tahfiz berkenaan itu mendakwa, anaknya gagal mendapat pilihan pertama UPUOnline menerusi permohonan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Artikel Berkaitan:

Memetik sedikit perkongsian beliau di Facebook, sebelum hantaran itu tiba-tiba ‘hilang’, anaknya telah mendapat keputusan cemerlang straight A dengan merit 98.5.

"Tertanya-tanya kenapa hampir 90 peratus anak-anak sekolah terbaik Malaysia tidak berjaya menempatkan diri mereka ke institusi pilihan pertama sedangkan merit mereka sangat hebat.

"Anak saya, meritnya mengikut kiraan kami 98.5 ditawarkan pilihan ketiga," tulis ibu itu.

Catatnya lagi, kegagalan si anak mendapat pilihan pertama adalah disebabkan markah PAJSKnya kosong.

"Rupa-rupanya semua anak-anak sekolah terbaik Malaysia kosong markah PAJSK mereka. Kosong! Semua!

"Apabila markah kosong implikasinya besar kerana daripada merit 98.5, hanya tinggal 90 sedangkan ini faktor yang mempengaruhi peluang mereka ke universiti pilihan. Mereka dinilai dengan dua aspek berkenaan keputusan peperiksaan SPM dan markah PAJSK,” kongsinya lagi.