Taman rekreasi kucing dibuka di Shah Alam

Majlis pelancaran disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim (tiga dari kanan).
Majlis pelancaran disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim (tiga dari kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara membina Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam berkonsepkan kawasan permainan luar.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya, Mohd Azhar Mohd Sharif memaklumkan, Catopia Shah Alam yang dibina di Seksyen 14 menyediakan pengalaman unik kepada pemilik kucing khususnya dalam kalangan komuniti Shah Alam.

Jelasnya, Catopia Shah Alam yang dapat memuatkan sehingga 20 ekor kucing pada satu masa dibuka secara percuma kepada pengunjung setiap hari bermula hari ini sehingga 31 Disember dari jam 10 pagi sehingga 7 malam.

"Pembinaan Taman Rekreasi Kucing 'Catopia Shah Alam' ini adalah inisiatif pihak MBSA untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti di Shah Alam berkaitan pemilikan haiwan peliharaan dengan bertanggungjawab.

"Ia juga sebagai platform MBSA untuk bersama mendidik dan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan dalam mewujudkan keseimbangan ekosistem," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Catopia Shah Alam menyediakan pengalaman unik kepada pemilik kucing khususnya dalam kalangan komuniti Shah Alam.
Catopia Shah Alam menyediakan pengalaman unik kepada pemilik kucing khususnya dalam kalangan komuniti Shah Alam.

Mohd Azhar berkata, dengan berkonsepkan taman permainan mini, Catopia Shah Alam dipadankan dengan 12 elemen menarik seperti menyediakan papan tanda informasi dan peta taman rekreasi kucing, tempat perlindungan dan makanan kucing, kolam air pancuran mini untuk kucing, kawasan rumput kegemaran kucing dan kawasan berpasir.

Ujarnya lagi, Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam diharap dapat menjadi salah satu tempat pelancongan untuk menarik pengunjung berkunjung ke Shah Alam.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan taman ini juga adalah sejajar dengan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) ke arah menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya pintar, berdaya huni dan makmur," ujarnya.

Mohd Azhar turut memaklumkan, MBSA akan membina sebuah Pusat Santuari Haiwan Kacau Ganggu di Seksyen U1, Shah Alam.

Ujarnya, cadangan pecah tanah bagi pembinaan Pusat Santuari Haiwan Kacau Ganggu MBSA ini dijangka diadakan September ini.

Di samping itu, beliau menambah, pihak MBSA juga mempunyai perancangan membina sebuah Safari Kucing iaitu pusat perlindungan kucing berkonsepkan safari yang mana ia akan dibuka kepada orang ramai.

"Tempat-tempat menarik untuk bergambar bersama kucing akan disediakan kepada orang ramai dan mereka juga berpeluang untuk mendapatkan kucing angkat di safari ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!