Usah bertangguh berubah ke arah lebih baik

BERMUHASABAH dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta tetapkan matlamat realistik untuk peningkatan diri. Foto CANVA
BERMUHASABAH dengan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta tetapkan matlamat realistik untuk peningkatan diri. Foto CANVA
A
A
A

TERBENAMNYA sang suria pada esok hari (Sabtu, 6 Julai 2024), maka bermulalah episod baharu bagi umat Islam yang memasuki bulan dan tahun baharu Hijrah iaitu 1446.

Bercerita mengenai tahun baharu, biasanya tidak akan lari daripada topik hijrah atau berubah menjadi lebih baik.

Sebagaimana masyhur lafaz ‘hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini’ memberi pengertian kepada kita bahawa umat Islam seharusnya akan menjadi lebih baik pada setiap hari yang dilaluinya.

Menyentuh mengenai berubah ke arah lebih baik ini, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan, Dr Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir.

DR MOHD KHAIRULNAZRIN
DR MOHD KHAIRULNAZRIN

Beliau terlebih dahulu memaklumkan bahawa lafaz ‘Sesiapa yang harinya sama seperti semalam, maka dia tergolong dalam kalangan yang rugi. Sesiapa yang harinya lebih buruk daripada semalam, maka dia terlaknat. Dan sesiapa yang harinya lebih baik dari semalam, maka dia tergolong dalam kalangan yang beruntung’ bukanlah hadis yang boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan lafaz tersebut tidak sabit untuk disandarkan kepada Rasulullah SAW seperti dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Iraqi dalam analisis kitab Ihya’ Ulumuddin.

Artikel Berkaitan:

“Namun konsep yang disampaikan ungkapan tersebut adalah benar. Ia mengajar kita tentang pentingnya kemajuan dan peningkatan diri secara berterusan dalam kehidupan seorang Muslim,” hurainya.

Menurutnya, ia sekali gus menggalakkan kita untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri dari segi ibadah, akhlak, ilmu dan amalan setiap hari.

“Untuk mengamalkannya, kita perlu melakukan muhasabah diri setiap hari, menetapkan matlamat kecil untuk peningkatan dan berusaha untuk melakukan sekurang-kurangnya satu perkara yang lebih baik setiap hari sama ada dalam ibadah, hubungan dengan orang lain atau sumbangan kepada masyarakat,” jelasnya panjang.

Tidak perlu tunggu 'masa yang sesuai'

Mengulas lanjut mengenai perubahan atau hijrah ke arah lebih baik ini, Dr Mohd Khairulnazrin memberitahu, tidak perlu menunggu ‘masa yang sesuai’ untuk berubah kerana ia mungkin tidak datang.

“Sebaliknya umat Islam harus mengambil tindakan segera dan jangan bertangguh kerana sikap menangguhkan perkara baik termasuk usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik merupakan satu kelemahan yang sering dihadapi oleh manusia.

“Untuk mengatasi masalah bertangguh ini, kita perlu sedar bahawa masa itu sangat berharga dan terbatas. Mulakan dengan langkah-langkah kecil dan konsisten kerana perubahan besar bermula daripada tindakan kecil yang berterusan," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya menetapkan matlamat yang jelas dan realistik terlebih dahulu sebelum membuat pecahan kepada tugas-tugas yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan.

“Ingatlah bahawa setiap hari adalah peluang baharu untuk memperbaiki diri dan janganlah biarkan kegagalan masa lalu menghalang kita daripada memulakan perubahan pada hari ini.

“Mohonlah bantuan ALLAH SWT melalui doa, tawakal yang penuh kepada-NYA dan usaha yang bersungguh-sungguh,” jelasnya.

SENTIASALAH hadir ke masjid dan bersama para jemaah agar perubahan diri yang dilakukan berterusan dan mendapat sokongan Muslim lain. Foto CANVA
SENTIASALAH hadir ke masjid dan bersama para jemaah agar perubahan diri yang dilakukan berterusan dan mendapat sokongan Muslim lain. Foto CANVA

Faktor sukar menjadi lebih baik

Menurutnya lagi, antara faktor atau halangan umat Islam sukar untuk menjadi lebih baik adalah:

1 - Kurang keyakinan dan penghayatan terhadap ajaran Islam dan menyebabkan seseorang itu kurang bermotivasi untuk berubah.

2 - Pengaruh persekitaran negatif seperti rakan-rakan atau masyarakat yang tidak menyokong perubahan positif boleh menghalang usaha seseorang untuk memperbaiki diri.

3 - Ketagihan, tabiat buruk atau kebiasaan negatif yang sudah lama diamalkan turut menjadi penghalang dan menyebabkan ia sukar untuk diubah tanpa tekad yang kuat.

4 - Kurang ilmu tentang cara yang betul untuk berubah atau pemahaman yang kurang tentang agama boleh menghalang kemajuan diri.

5 - Sikap malas dan procrastinate iaitu sifat suka menangguhkan dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan perubahan serta mengharapkan hasil yang cepat selain mudah putus asa apabila perubahan tidak berlaku dengan segera.

6 - Tekanan hidup seperti masalah kewangan, kesihatan atau hubungan sosial juga mampu mengganggu fokus untuk berubah.

7 - Rasa selesa dengan keadaan sedia ada dan takut menghadapi perubahan serta cabaran baharu juga menghalang sesetengah individu untuk berubah menjadi lebih baik.

Sempena Awal Muharam dan tahun baharu 1446 Hijrah, Dr Mohd Khairulnazrin berpesan agar berhijrah dan bertekad untuk berubah menjadi lebih baik.

"Mulakan dengan muhasabah diri yang jujur, kenal pasti kelemahan dan kekuatan diri masing-masing.

"Kemudian, tetapkanlah beberapa matlamat realistik untuk peningkatan diri dalam aspek ibadah, akhlak dan kehidupan meliputi hubungan diri dengan ALLAH SWT serta sesama insan," katanya.

BERUBAH menjadi lebih baik pada setiap hari akan meningkatkan produktiviti ibadah termasuk kehidupan seharian. Foto CANVA
BERUBAH menjadi lebih baik pada setiap hari akan meningkatkan produktiviti ibadah termasuk kehidupan seharian. Foto CANVA

Amalan ke arah menjadi Muslim lebih baik sepanjang tahun

1 - Mulakan dengan puasa sunat pada 9 dan 10 (Asyura) dan 11 Muharam. Cuba istiqamah dengan puasa sunat Isnin dan Khamis serta puasa hari-hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan setiap bulan Islam).

2 - Tingkatkan amalan bersedekah terutamanya kepada yang memerlukan.

3 - Perkukuhkan hubungan keluarga dengan merapatkan silaturahim.

4 - Pertingkatkan amalan membaca al-Quran pada setiap hari.

5 - Perbanyakkan doa memohon keberkatan tahun baharu Hijrah.

6 - Mulakan pembelajaran ilmu agama dengan kefahaman yang sahih.

7 - Hadiri kelas atau kuliah agama sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

8 - Amalkan zikir harian untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

9 - Perbaharui niat untuk melakukan segala amalan kerana ALLAH SWT semata-mata.

Amalan-amalan ini jika dilakukan dengan konsisten mampu membantu seseorang menjadi Muslim yang lebih baik sepanjang tahun Hijrah yang baharu ini.