'Saya masih komited bersama MFL' - Stuart

Stuart Ramalingam. Foto Bernama
Stuart Ramalingam. Foto Bernama
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menafikan khabar angin mengatakan bahawa beliau akan meninggalkan badan pengelola liga itu.

Menurut Stuart, beliau masih komited bersama MFL, namun pada masa sama mengakui perbincangan mengenai kontraknya yang akan berakhir pada Ogos masih berjalan.

"Apa yang boleh saya katakan buat masa ini ialah saya komited dengan MFL dan perbincangan sedang berjalan berkaitan kontrak saya yang berakhir pada bulan Ogos.

"Sebarang makluman rasmi mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat dan buat masa ini saya masih komited dengan peranan saya (selaku CEO MFL)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan bahawa Stuart yang dilantik pada 2021 tidak mahu menyambung perkhidmatannya bersama MFL selepas tempoh kontrak tamat penghujung Ogos ini.

MFL melalui episod sukar apabila dikecam selepas menjatuhkan hukuman yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan kepada Selangor FC susulan pasukan itu tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Mei lalu.

Perkara itu turut mendapat perhatian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan tindakan itu sekali gus menyebabkan MFL mengurangkan hukuman denda tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: