Muda gesa kerajaan tarik elaun ahli Parlimen yang tidak munasabah

Thanusha
Thanusha
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa kerajaan menyemak semula polisi elaun ahli Parlimen secara menyeluruh bagi memastikan ia munasabah dan adil seiring dengan pelbagai subsidi kepada rakyat yang dikurangkan ketika ini.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, R Thanusha berkata, ini kerana sudah tiba masanya elaun yang tidak relevan ditarik balik.

Beliau dalam masa sama turut mempersoal mengenai subsidi rakyat yang ditarik balik, sedangkan elaun ahli Parlimen terus melambung tinggi.

"Semua ahli Parlimen di Malaysia menerima bayaran gaji yang melambung tinggi, termasuk pelbagai jenis elaun yang tidak relevan. Majoriti dari bayaran elaun ini melebihi kadar yang munasabah, lebih-lebih lagi, apabila situasi kewangan negara amat kritikal.

"Ramai ahli Parlimen menerima gaji dan elaun yang tinggi, walaupun hanya berkhidmat kira-kira lima tahun sebelum layak untuk menerima pencen seumur hidup. Seseorang ahli Parlimen juga layak menerima pencen selepas menjalankan tugas mereka selama 36 bulan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan pada Jun lalu mengumumkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel di Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak.

Tambah Thanusha lagi, ahli Parlimen di negara ini perlu mematuhi standard etika dan keperluan penzahiran kewangan, selain wajar membuat pengisytiharan harta untuk menggalakkan ketelusan dan mengelakkan konflik kepentingan.

"Di tengah-tengah ketidaksamaan ekonomi yang semakin ketara, adalah tidak wajar untuk ahli Parlimen menerima elaun yang tinggi yang tidak seimbang dengan keadaan rakyat yang lebih banyak bergantung pada bantuan kerajaan untuk menyara kehidupan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut Akta Ahli Parlimen (Pembayaran Gaji) 1980, gaji bulanan seorang ahli Parlimen, termasuk elaun mereka, boleh mencapai purata RM25,700.

Selain itu, kumpulan tersebut juga boleh membuat tuntutan pelbagai elaun atau subsidi, seperti hiburan, hadiri sidang Parlimen, subsidi cukai jalan dan pengecualian pembayaran perkhidmatan kesihatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!