Kempen secara sihat, elak dakyah, fitnah dan unsur provokatif - Fahmi
PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, semua pihak perlu berkempen secara sihat dan tidak menggunakan dakyah, fitnah serta unsur provokatif pada Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, peringatan tegas tersebut perlu diambil serius susulan terdapat aduan yang diterima oleh pihak Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tentang kewujudan perkara seumpamanya.
"Kita perlu berhenti berkempen pada 12 tengah malam ini dan pada masa sama, saya sampaikan peringatan tegas kepada semua pihak untuk mengelak daripada bermain dengan kandungan yang provokatif seperti aduan yang kita terima daripada beberapa individu di Sungai Bakap.
"Ini suatu tindakan yang jahat, bersifat provokatif dan ada nombor telefon di situ. Pihak MCMC dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengesan mereka di sebalik tindakan jahat ini. Sekiranya ini adalah usaha mana-mana pihak, ia akan makan diri,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Jumaat.
PRK DUN Sungai Bakap esok menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!