Dua lelaki melecur, kedai jual plat kenderaan terbakar
KUANTAN - Dua lelaki melecur di bahagian tangan dalam kebakaran melibatkan sebuah kedai menjual plat pendaftaran kenderaan di Jalan Bukit Ubi di sini pada Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 11.43 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi pemadaman.
"Kebakaran melibatkan rumah kedai jenis kekal dua tingkat menjual plat pendaftaran kenderaan di tingkat bawah manakala kediaman di tingkat atas tidak terbakar.
"Anggaran peratusan kebakaran hampir 90 peratus," katanya.
Zulfadli berkata, dua lelaki yang cedera di tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan jentera tangki air dari BBP Kuantan.
"Kebakaran berjaya dikawal kira-kira jam 12.08 tengah hari," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!