Lori ATM bawa air minuman terbabas, anggota tentera cedera
Lori ATM membawa muatan air minuman terbabas ketika menuruni Bukit Kelawat, Kota Belud dalam kejadian pada Jumaat.
A
A
A
Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, seorang anggota tentera yang juga pemandu lori berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan terbabit melibatkan lori tiga tan yang dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Belud.
"Semasa sedang menuruni bukit berselekoh, brek lori tidak berfungsi dan pemandu cuba menyelamatkan lori tetapi gagal mengawal pemanduan sebelum hilang kawalan.
"Akibat kejadian itu menyebabkan lori tersebut terbabas ke penghadang jalan konkrit simen yang berada di sebelah kanan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pemandu lori terbabit hanya mengalami luka di bahagian dahi kiri dan telah dihantar ke hospital oleh anggota ATM sendiri.
"Bagaimanapun, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)," katanya.
Shahrudin dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi undang-undang jalan raya selain memastikan kenderaan yang dipandu barada dalam keadaan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!