PH selar politik fitnah untuk raih undi

Mohamad
Mohamad
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Pakatan Harapan (PH) menyelar tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan parti itu dengan kumpulan transgender rekaan yang kononnya merayu undi daripada penyokong melalui aplikasi WhatsApp.

Pengarah Pilihan Raya Perpaduan N20 Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, politik fitnah itu sekali lagi bukti pihak berkenaan terdesak meraih undi.

Menurutnya, ⁠percubaan jelik ini tidak lain tidak bukan adalah untuk mencemarkan imej parti kami, dan memanipulasi sentimen pengundi Muslim dan Melayu.

"Ini bukan sahaja tindakan terdesak oleh pihak lawan, tetapi juga penghinaan terang-terangan kepada kebijaksanaan pengundi-pengundi di Sungai Bakap.

"Parti kami berdiri teguh menentang taktik jelik sebegini dan mengulangi komitmen kami untuk berkhidmat kepada rakyat dengan kejujuran, ketelusan, dan rasa hormat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggesa para penyokong dan orang awam untuk mengenal pasti mesej fitnah ini sebagai apa yang sebenarnya muslihat terancang untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar dan merosakkan kepercayaan yang telah diberikan.

Beliau turut menyeru pihak lawan untuk terlibat dalam kempen yang adil dan menghormati, dengan menumpukan pada polisi dan tindakan yang akan menguntungkan para pengundi Sungai Bakap, dan bukan dengan menggunakan taktik kotor ini.

"Kami juga menggalakkan pengundi untuk mengesahkan maklumat melalui sumber yang sahih dan tidak terperangkap dengan usaha tidak beretika ini untuk mewujudkan perpecahan dan kekeliruan.

Artikel Berkaitan:

"Kendatipun begitu, dedikasi kami kepada kesejahteraan dan kemajuan rakyat tetap teguh dan utuh. Kami tidak akan teralih perhatian oleh taktik jelik ini dan akan terus bekerja tanpa henti ke arah masa depan yang lebih cerah untuk semua," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!