Persiapan istiadat pertabalan Agong lancar - Fahmi

Fahmi. Foto Bernama
Fahmi. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Persiapan menjelang Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim pada 20 Julai depan berjalan lancar dan mengikut seperti yang dirancang, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 itu berkata, mesyuarat jawatankuasa khas juga akan diadakan minggu depan yang antara lain bagi meneliti semua acara yang dijadualkan berlangsung sempena istiadat berkenaan.

"Tujuh acara yang pernah diumumkan sebelum ini akan diteliti perinciannya dan pada waktu ini, semua berjalan dengan lancar mengikut apa yang telah dirancang.

"Insya-ALLAH, acara-acara ini akan dapat dijalankan dengan jayanya," kata beliau pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata beliau dan rombongannya akan menyampaikan warkah persilaan ke istiadat berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

Pada 16 Mei lepas, Fahmi mengumumkan Istiadat Pertabalan berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara dan kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan melaksanakan pelbagai acara sempena istiadat penuh simbolik lima tahun sekali itu.

Acara sempena Istiadat Pertabalan itu dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai disusuli Khutbah Khas serta Solat Jumaat pada keesokannya di Masjid Negara.

Artikel Berkaitan:

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara akan disusuli Majlis Santapan Diraja pada hari sama.

Turut berlangsung lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai manakala Pameran Raja Kita dijadualkan pada 25 Julai di Muzium Negara.

Turut diadakan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!