10 penagih ditahan, 'port' hisap dadah dibakar

Tangkap layar video tular memaparkan aktiviti menghisap dadah di kawasan semak di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, Klang, Selangor.
Tangkap layar video tular memaparkan aktiviti menghisap dadah di kawasan semak di Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, Klang, Selangor.
A
A
A

KLANG - Seramai 10 penagih dadah warga tempatan berjaya ditangkap dalam satu serbuan di kawasan semak Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bertindak atas maklumat dan video tular kegiatan menghisap dadah di media sosial, sepasukan polis telah menyerbu lokasi terbabit pada jam 2 petang.

Menurutnya, serbuan itu membolehkan pihak polis menahan 10 lelaki warga tempatan yang berusia antara 30 hingga 50 tahun dan siasatan awal mendapati mereka yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau atas kesalahan jenayah serta dadah.

"Semasa tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas lima peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 5.19 gram.

"Tindakan sewajarnya turut diambil oleh pihak polis dengan membakar kawasan tersebut yang dipercayai dijadikan sarang menghisap dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Hoong Fong berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama.

Tambahnya, kesemua yang ditahan dalam serbuan itu telah dituduh di Mahkamah Klang pada Jumaat.

Sementara itu, mengulas mengenai video tular di laman sosial pada Rabu, beliau berkata, pihaknya mendapati ia merupakan tiga video lama yang masing-masing bertarikh 16, 18 dan 25 September 2023.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, video tersebut telah ditularkan semula di laman media sosial oleh individu tertentu.

"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah mengambil tindakan drastik pada tarikh-tarikh tersebut dan enam kes telah berjaya ditangkap," ujarnya.

Hoong Fong berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menularkan video-video terbabit bagi mengelakkan kegusaran masyarakat setempat.

Selain itu katanya, sebanyak 124 kes tangkapan berjaya dilaksanakan oleh pihak IPD Klang Selatan di alamat sama bermula September 2023 sehingga kini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!