SPRM teliti dokumen berkaitan ketidakteraturan HRD Corp

SPRM akan meneliti keseluruhan dokumen yang diserahkan kepada pihaknya oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung ketidakteraturan HRD Corp.
SPRM akan meneliti keseluruhan dokumen yang diserahkan kepada pihaknya oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung ketidakteraturan HRD Corp.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti keseluruhan dokumen yang diserahkan kepada pihaknya oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berhubung ketidakteraturan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Menerusi kenyataan, SPRM memaklumkan ia bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.

Selain daripada kesalahan jenayah, SPRM juga akan meneliti isu-isu kelemahan tatakelola yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024.

"SPRM mengesahkan telah menerima maklumat serta beberapa dokumen yang berkaitan yang diserahkan oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud jam 11.30 pagi ini," katanya pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri Kesuma, Steven Sim Chee Keong mengarahkan Khairul dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

PAC pada Khamis mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

LKAN pula antara lain mendedahkan sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu.

INFO

PENDEDAHAN LKAN DAN PAC MENGENAI HRD CORP


PENDEDAHAN LKAN

- Berlaku salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah, antaranya seramai 3,726 peserta mengikuti latihan melebihi sekali di bawah skim sama melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta.

- Sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan belum dikembalikan kepada kerajaan.

- Proses pembayaran deposit bagi pembelian hartanah Menara Ikhlas berjumlah RM120 juta di Putrajaya dikesan tidak teratur kerana tidak selaras dengan klausa perjanjian walaupun deposit dikembalikan dan tujuh daripada sembilan elemen tadbir urus korporat tidak diamalkan sepenuhnya.

- Prestasi penyaluran levi kepada majikan pada 2020 tidak mencapai sasaran KPI ditetapkan, manakala sasaran KPI bagi tujuan sama (penyaluran levi) untuk 2021 hingga 2023 tidak ditetapkan.

PENDEDAHAN PAC

- Sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti sedangkan ia bukan institusi pelaburan.

- Panel pelaburan HRD Corp gagal melaporkan aktiviti pelaburan yang sepatutnya kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) atas justifikasi bahawa pengerusi panel pelaburan adalah pengerusi ALP.

- Berlaku pelanggaran Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 berikutan tiada wakil Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik sebagai seorang daripada ahli panel pelaburan sejak 2017.

- Terdapat kelemahan dalam pengurusan syarikat itu dari segi tadbir urus, kaedah perolehan dan pembelian hartanah yang mencurigakan atau mendatangkan kerugian.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!