Cabutan Siri WOW! Merdeka Simpan SSPN tawar hadiah RM100,000

Norliza
Norliza
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membudayakan penabungan selari dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ melalui penganjuran Kempen Cabutan Siri WOW! Merdeka 2024.

PTPTN berkata, kempen yang bermula sejak 1 Julai lalu hingga 31 Ogos depan itu menawarkan hadiah lumayan wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 kepada semua pendeposit Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

“Penganjuran kempen ini untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan untuk menyambung pengajian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PTPTN memaklumkan, hadiah wang tunai RM100,000 berkenaan ditawarkan untuk 181 pemenang merangkumi hadiah utama RM10,000 untuk seorang pemenang dan hadiah sagu hati bernilai RM500 bagi 180 pemenang.

Menurutnya, untuk menyertai kempen tersebut, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen.

“Setiap simpanan bersih RM50 bagi Simpan SSPN Prime akan mendapat satu cabutan manakala untuk setiap simpanan bersih RM50 dalam Simpan SSPN Plus layak mendapat dua cabutan secara automatik.

“Menariknya, kelebihan cabutan berganda juga diberikan kepada pengguna myPTPTN. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus akan mendapat lima cabutan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata PTPTN lagi, pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan bersih RM50 melalui myPTPTN atau melalui potongan gaji atau debit terus pula akan mendapat 10 cabutan.

Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, semua masyarakat Malaysia hendaklah mengambil peluang menghayati erti sebenar sebuah kemerdekaan kerana kemerdekaan itu bukanlah sekadar berkisar tentang sejarah dan perjuangan semata-mata.

“Bahkan kebebasan daripada hutang kewangan dan disiplin dalam membuat penabungan awal untuk pendidikan anak-anak juga adalah sebuah kemerdekaan.

“Pendeposit bakal menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat menerusi Simpan SSPN selain berpeluang untuk memenangi hadiah yang lumayan sepanjang menyertai kempen ini. Simpan lebih, peluang menang pun lebih,” kata beliau.

Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, memberikan perlindungan takaful ke atas pendeposit, geran sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif serta simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Untuk rekod, sehingga 31 Mei lalu, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM18.4 bilion dengan akaun sebanyak 6.4 juta.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat. Orang ramai juga boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!