Mohd Rabin dilantik Fasilitator Kerajaan Malaysia

Mohd Rabin
Mohd Rabin
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Mohd Rabin menggantikan Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun lalu.

"Kerajaan amat yakin atas kewibawaan Mohd Rabin untuk merealisasikan misi ini dengan baik, berkesan dan mampu mencapai dampak positif serta signifikan kepada Proses Dialog Damai Selatan Thailand yang sedang berlangsung.

"(Ini) berbekalkan pengalaman luas sebagai bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara sebelum ini,” katanya.

Raja Nushirwan berharap Mohd Rabin dapat memainkan peranan lebih efektif serta konstruktif dalam mempercepatkan usaha ke arah mewujudkan persekitaran aman dan damai di Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

Beliau bagi pihak kerajaan turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada Zulkifli.

Zulkifli katanya akan meneruskan tanggungjawab serta komitmen sebagai Penasihat/Fasilitator Proses Damai Mindanao. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: