LKAN: Mara beri penjelasan isu kerugian anak syarikat

LKAN Siri 2/2024 mendedahkan Mara Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan terpaksa menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada 2022 disebabkan faktor pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap. (Gambar kecil: Azhar)
LKAN Siri 2/2024 mendedahkan Mara Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan terpaksa menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada 2022 disebabkan faktor pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap. (Gambar kecil: Azhar)
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf tampil menjelaskan kerugian terkumpul dialami anak syarikatnya, MARA Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc.) sebanyak RM286.30 juta sejak 2012 hingga 2022 sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Khamis lalu.

Beliau berkata, sebahagian kerugian terkumpul itu melibatkan urusan pembelian aset luar negara khususnya di Australia dan United Kingdom (UK) antara 2012 hingga 2014.

Menurut Azhar, tindakan sewajarnya telah diambil termasuk dari aspek perundangan dan komitmen susulan oleh Mara serta syarikat bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Majlis Mara pada September 2015 telah meluluskan pelan rasionalisasi pemulihan Mara Inc. bagi memastikan nilai aset meningkat dan memperkasakan aspek tadbir urus syarikat ke arah mengurangkan kerugian terkumpul.

“Pelaksanaan pelan ini merangkumi pelunasan hutang dan rasionalisasi operasi aset Mara Inc. di luar negara yang kini mula menampakkan hasil. Aset terbabit telah bebas daripada sebarang hutang dengan pihak luar.

“Namun, pada 2020 dan 2021, pandemik Covid-19 melanda dan menjejaskan prestasi aset. Nilai aset jatuh mendadak serta menjadi penyumbang terbesar kepada kerugian terkumpul syarikat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

LKAN Siri 2/2024 mendedahkan Mara Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan terpaksa menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada 2022 disebabkan faktor pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap.

Katanya, kos pelaburan dalam lima syarikat subsidiari Mara pada tahun berkenaan mengalami penjejasan nilai terkumpul sebanyak RM87.18 juta bersamaan 54.8 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Azhar menjelaskan, bermula 2022 hingga Jun 2024, prestasi aset semakin baik dengan kadar sewaan meningkat dan kadar penghunian melebihi 90 peratus.

Tambah beliau, ia memberikan pulangan yang baik dan impak positif kepada nilai aset Mara Inc. selepas mengalami fasa pandemik.

Jelasnya lagi, bagi tempoh tiga tahun yang sama, nilai pelaburan hartanah Mara Inc. meningkat sebanyak hampir 30 peratus iaitu dari RM170 juta kepada RM215 juta.

“Prestasi kewangan juga menunjukkan tren positif sekali gus mengurangkan kerugian terkumpul sebanyak RM14.06 juta atau lima peratus daripada jumlah kerugian terkumpul pada 2022. Ia membolehkan Mara Inc. membuat pembayaran dividen kepada MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp).

“Majlis Mara dan pengurusan Mara komited dan beriltizam tinggi untuk memastikan aspek tadbir urus korporat serta tata kelola kewangan syarikat berada pada tahap tertinggi.

“Ia perlu agar tidak berlaku sebarang ketirisan, penyimpangan, penyelewengan dan pembaziran melibatkan wang rakyat yang diamanahkan,“ ujar beliau lagi.