Sabah FC tamat kontrak Ramon Machado
SABAH FC hari ini mengumumkan pemain penyerang import Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama pasukan bola sepak itu.
Pengarah berkenaan, Md Joh Wid berkata, kelab dan seluruh warga Sabah FC mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemain dari Brazil itu atas sumbangan beliau terhadap pasukan berkenaan.
"Dengan berat hati secara rasminya saya memaklumkan bahawa pemain penyerang Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama Sabah FC,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sejak penampilan pertama, Md Joh berkata, Ramon berjaya menambat hati penyokong The Rhinos menerusi jaringan-jaringan cantik serta ‘assist’ (bantuan) beliau, dan sudah pasti gerakan pantas serta kelincahannya di padang, terutama di gelanggang keramat Stadium Likas akan dirindui.
"Walau bagaimanapun, kita perlu meneruskan perjuangan yang masih banyak tersisa di hadapan. Bola sepak adalah sukan berpasukan. Saya menaruh penuh keyakinan pada semua pemain yang ada untuk terus menggalas tugas membawa cabaran seterusnya.
"Terus beri sokongan padu dan semoga kita berjaya mencapai sasaran yang telah kita tetapkan,” katanya sambil menambah semoga Ramon dan keluarga selamat kembali ke kampung halaman bersama kenangan indah sepanjang berada di Sabah seterusnya maju jaya di masa hadapan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!