Sebahagian pengundi UMNO di Sungap Bakap masih mahu sokong PN - Ilham Centre

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebahagian daripada pengundi teras UMNO didapati masih mahu menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan berlangsung esok berdasarkan laporan kajian yang dilakukan firma penyelidikan bebas, Ilham Centre.

Ilham Centre berkata, namun sebahagian lagi daripada mereka masih dalam dilema dan masih berkira-kira untuk membuat keputusan.

Katanya, BN memperolehi sekitar 8,000 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan dalam masa sama UMNO mempunyai sekitar 5,000 ahli di Sungai Bakap ini.

“Akibat rempuhan gelombang hijau, sebahagian besar pengundi teras UMNO memberi undi kepada PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas. Temu bual bersama pengundi UMNO menunjukkan situasi tersebut telah mula berubah sedikit.

“Kecenderungan mereka terhadap PN semakin tidak kuat seperti sebelumnya, namun dalam masa sama mereka tidak menunjukkan sokongan kepada PH,” katanya dalam laporan Pola Pengundian PRK N20 Sungai Bakap yang dikeluarkan pada Jumaat.

PRK DUN Sungai Bakap akan berlangsung pada Sabtu yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH-BN, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ilham Centre menjelaskan, UMNO menggerakkan jentera kempen yang kuat dan sistematik untuk menyantuni pengundi teras mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jentera kempen UMNO bergerak secara bersendirian rumah ke rumah untuk berunding dan memujuk pengundi mereka supaya mengundi calon perpaduan.

“Walau apa keputusan pengundi teras mereka nanti, pendekatan UMNO untuk mendampingi semula pengundi mereka semakin diterima,” katanya.

Sementara itu, Ilham Centre berkata, dapatan kajian juga mendapati kesediaan keluar mengundi tidak cukup ghairah berbanding PRU15 dan PRN Pulau Pinang 2023 memandangkan ia tidak akan merubah sebarang status-quo kerajaan negeri selain disebabkan terlalu kerap pilihan raya dijalankan DUN itu dalam masa yang dekat.

“Ramai responden yang ditemu bual memaklumkan ahli keluarga mereka sama ada anak, adik beradik atau saudara terdekat tidak akan pulang untuk mengundi.

“Namun cuti yang agak panjang hujung minggu ini di Pulau Pinang sedikit sebanyak masih memberi harapan untuk pengundi luar yang ada sekitarnya untuk pulang mengundi sambil bercuti bersama keluarga,” ujarnya,

Untuk rekod, dalam tempoh dua tahun setengah, pengundi Sungai Bakap dipanggil untuk membuang undi sebanyak tiga kali. Setelah melalui PRU15 pada November 2022 dan PRN pada Ogos 2023, mereka sekali lagi akan mengundi dalam PRK berkenaan.