Perkenal calon PRU16 lebih awal ada lebih dan kurangnya - Mahdzir

Mahdzir ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini pada Jumaat.
Mahdzir ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG PASU - Cadangan untuk memperkenalkan calon lebih awal sebelum menempuh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dilihat mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimana pun cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani itu mempunyai justifikasi tersendiri.

"Maksud kekurangan yang saya katakan itu, bila kita dah pilih dia (calon) kita nak kena kepung dia,kena duduk dalam talam.

"Kalau dua tahun bayangkan dia kena duduk macam tu, dia tak buat jahat tapi dia tak boleh buat silap sikit, orang mula nak melatah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini pada Jumaat.

Menurutnya, bagi UMNO Kedah, mereka belum bersedia sekiranya perlu menampilkan calon lebih awal sebagai persediaan PRU16.

"Kita sekarang baru tengok-tengoklah (calon yang berkelayakan) tapi saya ingat, insya-ALLAH boleh," katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, perkara yang paling penting ketika ini adalah untuk memenuhi keperluan orang ramai.

"Musim macam sekarang ni kita kena lihat apa yang orang ramai nak, bukan saja dari segi parti. Sebab nak menang ni bukan sahaja ahli UMNO, tapi "silent voters dan orang awam juga penting," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, ketika berucap pada Sesi Ucapan Pengulungan Persidangan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Johari mencadangkan supaya UMNO mengumumkan calon terbaik parti tersebut dalam tempoh empat tahun setengah ini.

Katanya, gerak kerja calon terbabit boleh dinilai dalam tempoh tersebut.Sekiranya bagus calon berkenaan akan dikekalkan jika sebaliknya akan ditukar kepada calon lain.