Pindah paip punca projek naik taraf Bulatan Bestari lewat
SHAH ALAM - Proses pemindahan paip dikenal pasti menjadi punca kerja naik taraf Bulatan Bestari Seksyen 2 di sini lambat siap.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, pihaknya maklum kelewatan kerja-kerja naik taraf jalan di bulatan tersebut mengakibatkan kesesakan teruk kepada pengguna.
"Saya turun padang ke Bulatan Bestari Seksyen 2 untuk meninjau dan mendapat penjelasan kelewatan kerja-kerja naik taraf jalan yang menyebabkan kesesakan teruk dan laluan alternatif yang kurang sesuai.
"Saya dimaklumkan oleh pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam kelewatan kerja disebabkan pemindahan paip air dari bulatan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya miliknya.
Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kerja-kerja naik taraf bulatan tersebut akan siap sepenuhnya akhir bulan depan.
"Lencongan baru sedang dilaksana tanpa melibatkan kesesakan seperti sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!