PRK Sungai Bakap: Isu penyasaran subsidi diesel, Blackrock ‘tak meletup’
SHAH ALAM - Isu nasional yang hangat diperkatakan ketika ini seperti isu penyasaran subsidi diesel dan BlackRock didapati tidak ‘meletup’ secukupnya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berlangsung.
Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre berkata, kajian lapangan yang dilakukan pihaknya mendapati pengundi lebih fokus terhadap isu tempatan yang terkait secara langsung dengan kehidupan seharian mereka.
“Seperti biasa, setiap kali pilihan raya pelbagai isu semasa akan diangkat sama ada timbul secara organik dalam kalangan pengundi atau diagendakan oleh parti-parti yang bertanding sebagai agenda kempen. Namun dalam PRK ini, isu-isu lokal lebih mendapat tempat dalam kalangan pengundi berbanding isu nasional.
“Isu penyasaran subsidi diesel dan isu BlackRock sebagai contoh tidak meletus secukupnya di Sungai Bakap ini seperti jangkaan awal oleh pelbagai pihak walaupun isu ini cuba diangkat sebagai agenda kempen oleh parti yang bertanding khususnya PN,” katanya dalam laporan Pola Pengundian PRK N20 Sungai Bakap yang dikeluarkan pada Jumaat.
PRK Sungai Bakap akan berlangsung pada Sabtu melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon PH-BN, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Ilham Centre memaklumkan, antara banyak yang ditimbulkan oleh pengundi seperti gangguan bekalan air, kenaikan tarif air, kemudahan infrastruktur, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, antara isu-isu yang ditimbulkan secara organik oleh pengundi tersebut, isu air paling signifikan untuk mempengaruhi pengundian.
“Ramai pengundi bersungut terhadap bekalan air yang sering terganggu serta mekanisme pengeluaran bil air yang menyebabkan pengguna melihat seperti berlaku kenaikan harga air yang tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, dari aspek kekuatan calon, Ilham Centre menambah, responden-responden yang ditemu bual pihaknya memberi kredit besar kepada calon parti perpaduan iaitu Joohari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joo.
Menurutnya, kelayakan akademik, kerjaya sebagai cikgu dan statusnya sebagai orang tempatan menyebabkan majoriti pengundi mengenali dan memberi perspektif baik kepada Joohari.
“Dalam masa sama calon PH ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik sama ada pengucapan awam atau komunikasi interpersonal apabila berinteraksi dengan pengundi. Aset paling besar Cikgu Joo adalah kerjaya beliau sebagai guru menyebabkan beliau dikenali ramai termasuk oleh bekas murid beliau.
“Dalam temu bual kami, ramai bekas murid memberi penghormatan tinggi kepada beliau walaupun bekas murid tersebut adalah penyokong PN,” ujarnya.
Secara relative pula, Ilham Centre menjelaskan, calon PN tidak memiliki kelayakan akademik, latar belakang kerjaya dan kemahiran komunikasi setanding calon Perpaduan.
“Namun cerapan kami dalam kalangan pengundi menunjukkan beliau juga dikenali dengan baik dalam kalangan pengundi. Ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang beliau sebagai anak tempatan dan tugas beliau sebagai pembantu wakil rakyat sebelum ini yang kerap bertemu masyarakat dalam Dewan Undangan Negri (DUN) Sungai Bakap.
“Tinjauan kami di Sungai Duri sebagai contoh, beliau sangat popular di Pusat Daerah Mengundi (PDM) ini khususnya dalam kalangan anak-anak kariah Masjid Sungai Duri itu sendiri,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!