'Komisen, kos pengurusan ambil setakat perlu sahaja'

Azri Bhari ketika siaran langsung 'Di Sebalik Isu' bertajuk NGO: Bantu atau Tipu yang dihoskan oleh Finaz Yunus di Karangkraf pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Azri Bhari ketika siaran langsung 'Di Sebalik Isu' bertajuk NGO: Bantu atau Tipu yang dihoskan oleh Finaz Yunus di Karangkraf pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Pengambilan komisen melalui kos pengurusan, pentadbiran, gaji pekerja, sewaan bangunan dan bayaran duti oleh badan bukan kerajaan (NGO) adalah dibenarkan, tetapi setakat yang perlu sahaja mengikut fatwa serta ajaran Islam.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Profesor Madya Dr Azri Bhari berkata, NGO selaku mediator atau perantara tidak sepatutnya menggunakan 30 peratus komisen sebagai alasan untuk aktivis kemanusiaan menyalahgunakan sumbangan orang awam.

Menurut beliau, ia kerana jumlah peratusan itu tidak tertakluk di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM), sebaliknya termaktub dalam Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

"RoS dah letak satu panduan umum bahawa ada ketetapan sehingga 30 peratus, namun kaedah yang terbaik adalah kurang daripada itu.

"Jika ikut pandangan lain, ambil kira komisen daripada kos pengurusan setakat yang dibenarkan sahaja dan jangan bergantung kepada peratusan. Nilai semula kos pengurusan masing-masing.

"Janganlah ambil terlalu banyak kerana ia menyebabkan berlakunya ketidakpastian dalam penggunaan dana sumbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program ‘Di Sebalik Isu’ bertajuk NGO: Bantu atau Tipu yang dihoskan oleh Finaz Yunus secara langsung menerusi platform Sinar Harian, di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh dipercayai mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan kadar peratusan yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Lebih membimbangkan, pempengaruh tersebut didakwa tidak melakukan proses pengauditan atau menunjukkan bukti kutipan bantuan sebelum diserahkan kepada golongan sasar.

Azri yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Wakaf dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berpandangan, tidak dinafikan masyarakat di negara ini gemar menghulurkan bantuan kewangan sebagai sedekah atau infaq kepada golongan kurang berkemampuan.

Bagaimanapun, jelasnya, kaedah terbaik untuk mengelakkan timbul konflik dan salah faham adalah mengamalkan konsep Tabarru’ atau melakukan kerja kemasyarakatan secara sukarela tanpa mengambil apa-apa caj pengurusan.

"Sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang memerlukan dana, berbalik kepada pilihan kedua iaitu dibenarkan, namun ‘sekadarnya’ sahaja," ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!