Tapak lupus sampah terbakar, orang ramai tak perlu panik

Anggota bomba yang bertugas 24 jam sehari secara bergilir mengikut shif di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak hari pertama kejadian.
Anggota bomba yang bertugas 24 jam sehari secara bergilir mengikut shif di tapak pelupusan sampah yang terbakar sejak hari pertama kejadian.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk di daerah ini dinasihatkan tidak panik dengan kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Semeling.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Industri dan Pelaburan Kedah, Tan Kok Yew berkata, kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah Semeling, semalam adalah di Zon D dan bukannya di Zon A.

"Sebelum ini kebakaran juga berlaku di Zon A, namun sudah berjaya dikawal sepenuhnya bomba. Asap tebal dan api yang marak semalam berlaku di kawasan baharu iaitu di Zon D yang terletak kira-kira 50 meter dari Zon A.

Dari kanan Simon, Nor Azrina dan Kok Yew (tiga kiri) ketika melawat tapak kejadian petang semalam.
Dari kanan Simon, Nor Azrina dan Kok Yew (tiga kiri) ketika melawat tapak kejadian petang semalam.

"Kita memohon penduduk jangan panik kerana asap tebal ini bukan disebabkan kebakaran pertama namun ia kebakaran baru yang tercetus hari ini (semalam)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak ke lokasi tapak pelupusan sampah yang turut dihadiri Exco Alam Sekitar, Simon Ooi Tze Min dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip petang semalam.

Menurutnya, pasukan bomba telah berusaha keras memadam kebakaran dan memantau lokasi bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan longgokan sampah lain.

Artikel Berkaitan:

Asap tebal memenuhi ruang sehingga memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan berdekatan tapak pelupusan sampah yang terbakar.
Asap tebal memenuhi ruang sehingga memberi kesan kepada pengguna jalan raya yang melalui laluan berdekatan tapak pelupusan sampah yang terbakar.

"Kebakaran juga dipantau Jabatan Alam Sekitar, TNB (Tenaga Nasional Berhad), Majlis Perbandaran Sungai Petani dan semua agensi terlibat berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Jangan tular sebarang kejadian tidak sahih bagi memburukkan keadaan atau menakutkan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Nor Azrina berkata, biarpun keadaan asap nampak teruk tetapi pemantauan bacaan indeks pencemaran udara masih terkawal.

"Asap memang tak selesa, sekiranya ia membahayakan kita akan ambil langkah pencegahan kerana kesihatan rakyat menjadi keutamaan," katanya.

Timbalan Pengarah Bomba Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufaat Kamaron pula berkata, pasukannya sentiasa membuat pemantauan 24 jam sehari sejak kejadian hari pertama dengan tugasan bergilir secara syif.

Kebakaran sentiasa dipantau bagi memastikan tidak merebak ke kawasan longgokan sampah lain.
Kebakaran sentiasa dipantau bagi memastikan tidak merebak ke kawasan longgokan sampah lain.

"Setakat ini, kita masih berada di lokasi kejadian memantau kebakaran dan orang ramai dinasihatkan jangan panik serta ambil langkah keselamatan seperti memakai topeng mulut dan hidung setiap kali keluar rumah selain banyakkan minum air," katanya.

Kawasan pelupusan sampah ini keluasan 100 hektar dimiliki Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan diberi kontrak menjaga kepada satu syarikat.

Tapak pelupusan sampah terbabit tidak berpagar dan tiada kamera litar tertutup tetapi terdapat papan tanda larangan penceroboh.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai menceroboh tapak pelupusan sampah itu untuk mencari barang lusuh dan membakar kabel di kawasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek bakar tapak pelupusan sampah ditahan

Tapak Pelupusan Sampah Semeling masih terbakar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!