Pihak berkuasa perlu siasat dakwaan salah guna dana NGO

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu menyiasat jika ada dakwaan berlaku penyalahgunaan dana yang disalurkan pelbagai penyumbang kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menghentikan perbuatan tidak amanah berkenaan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak yang melakukan perkara itu juga perlu menghentikannya sebelum lebih banyak anggapan buruk dilempar kepada NGO lain yang melakukan kerja kesukarelawan dengan telus.

“Teras dalam NGO ini ada empat iaitu keyakinan atau kepercayaan, hormat, kebertanggungjawaban dan ihsan. Kalau ada pihak yang tidak kisah tentang soal amanah, imej NGO dan sebagainya, saya rasa patut ditegur.

“Jika benar perkara itu (penyalahgunaan dana) berlaku, ia harus dihentikan dan pihak berkuasa harus mulai menyiasat,” katanya selaku panelis pada program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus (FY) bertajuk ‘NGO, bantu atau tipu’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Finaz mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya ada individu yang sanggup berhenti kerja tetap untuk mengemudi sesebuah NGO hanya kerana ingin mendapatkan kemewahan.

Mohd Azmi (dua dari kiri) berganding bersama Kamarul Zaman (kanan) dan Azri (dua dari kanan) selaku panelis pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘NGO, bantu atau tipu’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Mohd Azmi (dua dari kiri) berganding bersama Kamarul Zaman (kanan) dan Azri (dua dari kanan) selaku panelis pada program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘NGO, bantu atau tipu’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Diskusi itu turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Azri Bhari.

Mohd Azmi menegaskan, tindakan mengejar kemewahan atau keuntungan lumayan tidak menggambarkan sifat NGO yang pada terasnya adalah sukarela.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ada individu yang merasa (penglibatan dalam NGO) ini adalah kesempatan untuk barangkali ditawar gaji jauh lebih tinggi atas nama profesionalisme saya kira itu sudah melanggar nilai teras NGO itu sendiri.

“Orang ramai nanti tidak akan rasa hormat, anggap (aktivis NGO) tidak bertanggungjawab dan merasakan NGO ini sudah tidak boleh dipercayai lagi,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pandangan segelintir pihak bahawa NGO tidak sepatutnya mengambil komisen walaupun untuk caj pengurusan dan menyalurkan 100 peratus hasil sumbangan kepada penerima, Mohd Azmi berpendapat, perkara itu perlu dilihat dari sudut praktikal.

Menurutnya, pelbagai aspek harus diambil kira termasuk dari segi sukarelawan yang hanya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja sukarela dan dari sudut kos pengangkutan penghantaran bantuan tambahan lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi sekarang.

“Realistik tak cadangan tersebut dalam keadaan ekonomi sekarang ini? Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tiada kerjaya dan memberi fokus hidup dan matinya kepada dunia kesukarelawan ini. Kos untuk menghantar barangan (bantuan) juga pasti terpaksa ditanggung.

“Memang sebaik-baiknya tenaga dan masa yang kita luangkan untuk kerja sukarela ini tanpa diupah. Budaya untuk percuma itu baik tetapi ia tidak praktikal,” ujarnya.

Kata beliau, jika tiada langsung komisen walaupun caj pengurusan diambil NGO, kemungkinan sukarelawan yang tidak mempunyai kerjaya akan berundur daripada terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Kita tahu dia (sukarelawan) ada tanggungan, rumah, isteri jadi kita tak boleh dengan mudah mengatakan itu kamu sendirilah (tanggung). Kalau begitu dia mungkin undur diri, sebab dia akan cakap 'saya tak mampu'. Jadi (kita) nak cari siapa pula yang mampu,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!