'Semoga ALLAH terima amal kebaikannya'

Tuan Haji Wan membantu gelandangan dengan memberi baju yang dipakainya.
Tuan Haji Wan membantu gelandangan dengan memberi baju yang dipakainya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki bertindak membuka baju untuk diberikan kepada seorang gelandangan dipakainya menarik perhatian pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian video berdurasi 39 minit di TikTok itu, lelaki tersebut dilihat dengan spontan membuka baju-T dipakainya kemudian diberikan kepada gelandangan yang hanya berseluar.

Menurut pemilik video berkenaan, Abang Afhi Affandy Abang Rosli, 24, sebenarnya lelaki dalam rakamannya itu merupakan orang dikenalinya bernama Wan Alam Shah Wan Asnawi.

"Beliau yang mesra dipanggil Tuan Haji Wan sememangnya seorang yang tidak boleh tengok orang dalam kesusahan seperti tiada makanan atau golongan gelandangan ini.

"Kebetulan Ahad lalu saya dan Tuan Haji Wan bersarapan setelah habis Subuh di masjid sekitar kawasan tersebut. Apabila ternampak individu itu, Tuan Haji Wan terus mendapatkannya untuk memberi pakaian," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, Tuan Haji Wan bertindak sedemikian berikutan cuaca yang sejuk kerana kawasan berkenaan baru sahaja hujan.

Lebih menyentuh hati apabila Haji Wan turut dilihat membeli makanan di gerai berhampiran untuk diberikan kepada gelandangan itu.

Artikel Berkaitan:

Tuan Haji Wan membelikan makanan untuk gelandangan.
Tuan Haji Wan membelikan makanan untuk gelandangan.

"Tuan Haji Wan adalah seorang insan yang suka membantu orang lain malah pernah menasihati saya agar sentiasa membuat kebaikan.

"Semoga ALLAH terima amal kebaikannya. Hidupnya tak jauh daripada amal kebajikan.

"Kata-katanya kepada saya, 'tak mampu kita kenyangkan orang, cukup buat orang yang kita bantu tersenyum' akan sentiasa tersemat di hati ini," ujarnya.

Jelas Abang Afhi Affandy, video berkenaan dirakam tanpa ketahui Tuan Haji Wan.

Tambahnya, perkongsian di TikTok juga hanya untuk memberi contoh kepada orang ramai agar sentiasa merebut peluang berbuat kebaikan.

"ALLAHU, semoga menjadi asbab mengajak orang lain dalam fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan.

"Alhamdulillah, hidup kita masih ada serba sedikit kemampuan. Ada orang tak merasa tilam yang empuk, makan dengan tenang, rumah selesa dan pakaian baik. Kita kurang bersyukur.

"Moga ALLAH kurniakan kita rasa nikmat, syukur dengan hati yang tenang," katanya.

Senario yang berlaku di Kuching, Sarawak itu telah berjaya meraih sebanyak 6.7 juta tontonan dan lebih 800,000 tanda suka setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tersentuh dengan tindakan Tuan Haji Wan dan memuji sikapnya yang suka menyantuni orang susah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!