Sukarnya perangi rasuah di Indonesia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TIMBALAN Ketua Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia secara terus terang mengatakan bahawa selama lapan tahun di situ, beliau sebenarnya telah ‘gagal’.

Semasa sesi rapat kerja (raker) dengan wakil-wakil Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dalam Komisi III, beliau mengakui sukarnya memerangi rasuah di Indonesia.

Alexander Marwala berkata, rakyat jangan mengharapkan KPK ‘jadi malaikat’. Ada banyak masalah dalaman yang perlu ditangani. Lagipun tugas menghapuskan rasuah tidak sepatutnya menjadi beban KPK sahaja.

Tegas beliau (verbatim): “Tanpa komitmen DPR, tanpa komitmen Presiden untuk bisa melihat secara komprehensif persoalan pemberantasan korupsi, kita omong kosong pemberantasan korupsi itu.”

Secara jujur dan lantang, Alexander menyuarakan masalah kelemahan KPK pada masa ini.

Malah, menurut beliau memang wujud krisis dalaman yang mengganggu tugas utama KPK. Antara lain ialah masalah petugas KPK yang didatangkan daripada pasukan polis dan kehakiman. Secara jujur beliau mengakui KPK sendiri tidak tahu di mana kesetiaan petugas itu.

Terdapat juga apa yang beliau sebutkan sebagai ‘ego sektoral’ yang ketara. Demikian juga hubungan antara polis dan kehakiman tidak seperti diharapkan oleh KPK.

Fungsi penyelarasan dan pengawasan tidak berjalan dengan sebaiknya. Maka itu, apabila ada kes membabitkan pihak polis atau kehakiman, kerjasama selalunya terhenti dan kes hilang di tengah jalan.

Artikel Berkaitan:

Komisi III juga menanyakan apakah terjadi kepada bekas ketua KPK sendiri, Firli Bahuri yang dikaitkan dengan tuduhan memeras bekas Menteri Pertanian, Syahril Yasin Limpo (SYL) yang dibicarakan kerana kes rasuah.

Firli ialah Ketua KPK yang keenam dibawa masuk daripada pasukan polis. Sejak menjadi ketua KPK, beliau banyak terlibat dalam kontroversi. Kes membabitkan Firli juga menyebabkan keyakinan rakyat terhadap KPK berada pada tahap paling rendah.

KPK lahir pada zaman pemerintahan Presiden Megawati Sukarnoputri (Julai 2001 hingga Oktober 2004).

Presiden Indonesia yang kelima dan wanita pertama memegang jawatan itu. KPK diwujudkan bagi memastikan Indonesia tidak lagi dibebani oleh budaya dan amalan rasuah yang kronik.

Megawati menganggap cara terbaik memerangi korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) – tiga perkara yang mendefinisikan pemerintahan Presiden Suharto – ialah sebuah badan anti-rasuah yang bebas.

Memang KPK punya sejarahnya yang gemilang tetapi kebebasan dan integriti KPK tidak disenangi apabila banyak jerung politik serta ahli perniagaan yang dibawa ke pengadilan.

Masalah dengan polis, kehakiman dan khususnya DPR menjadi duri dalam daging bagi KPK.

MANGSA DENDAM

Salah seorang ketua KPK yang tegas ialah Antasari Azhar. Malah sewaktu pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), besan Presiden sendiri bernama Aulia Pohan telah didakwa terbabit rasuah.

Kita tahu apa yang berlaku kepada Antasari. Beliau didakwa membunuh dan didapati bersalah, lalu dipenjarakan selama 18 tahun. Banyak pihak beranggapan beliau jadi mangsa dendam.

Selain Antasari, Abraham Samad juga begitu digeruni. Begitu besar pengaruh dan populariti Abraham hinggakan calon Presiden ketika itu, Joko Widodo (Jokowi) pernah membayangkan akan membawanya sebagai Timbalan Presiden. Kemudiannya, Antasari juga dilucutkan jawatan.

Selain itu, orang kedua KPK, Bambang Widjojanto ditangkap polis. Kesalahannya, beliau mendakwa calon Ketua Polis yang bakal diumumkan oleh Presiden terbabit kes rasuah.

Rakyat rata-rata memberikan sokongan padu kepada KPK. Malah, apabila ada cadangan untuk mendirikan ibu pejabat baharu KPK, rakyat mahu membiayai pembinaannya.

Dalam kalangan peniaga kecil di Jakarta muncul gerakan ‘Koin untuk KPK’ tetapi KPK juga akhirnya tertakluk pada kesediaan ahli-ahli Parlimen untuk menyokongnya.

Harapkan pagar, pagar makan padi. Pada 17 September 2019, DPR meluluskan rang undang-undang baharu untuk membataskan kuasa KPK. KPK tidak dirujuk untuk meminda akta tersebut.

BERLELUASA

Pada waktu ini kes SYL sedang dibicarakan. Sesiapa pun yang mengikuti kes itu di mahkamah akan sedar betapa berleluasanya rasuah pada peringkat tertinggi. Apa yang muncul dalam perbicaraan itu ialah penggunaan wang Kementerian Pertanian sewenang-wenangnya.

Wang rakyat bagaikan bank untuk bekas menteri itu menggunakan mengikut sesuka hatinya. Belum pernah rasanya dalam mana-mana kes rasuah terlihat perbuatan yang sebegitu berani menggunakan wang negara.

SYL membelanjakan wang kerajaan untuk memberikan duit kocek kepada isterinya, membelikan wangi-wangian untuk anak, membuat majlis berkhatan untuk cucu, pergi ke Makkah, memesan makanan termasuk berpesta durian dan paling memeranjatkan memberi elaun kepada seorang penyanyi dangdut terkenal.

Wang itu juga berdasarkan kenyataan saksi dalam perbicaraan disalurkan kepada partinya, Parti Nasional Demokrat (NasDem).

Paling menarik, salah seorang anak SYL yang juga anggota DPR mendapat habuan daripada ‘kemurahan hati’ bapanya. Indira Chunda Thita ialah anak perempuan tertua SYL.

Menurut saksi yang memberi keterangan, SYL pernah menyalurkan wang kementerian untuk biaya stem cell puterinya, selain membuat bayaran bulanan kereta peribadinya.

Lebih memeranjatkan adalah sikap beliau yang seolah-olah tidak berasa bersalah dengan perbuatan tersebut.

Malah, berkali-kali beliau menyebut bahawa negara sepatutnya terhutang budi kepada beliau. Dan beliau telah banyak berjasa kepada negara.

Perang memerangi rasuah tidak mudah. Tidak banyak kerajaan yang menyokong gerakan besar-besaran menghapuskan rasuah.

Tetapi mudah-mudahan dengan keberanian Pemangku Ketua KPK baharu, Nawawi Pomolango dan Timbalannya, Alexander Marwala, diharapkan KPK akan punya taring seperti sebelumnya. Itu pun sekiranya pimpinan politik tidak melihat mereka sebagai ancaman.

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), badan bebas yang memantau SPRM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!