PRK Sungai Bakap: 9 pusat mengundi dibuka 8 pagi ini

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada jam 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi. Foto Bernama
Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada jam 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi. Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sebanyak sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.

Pusat pengundian tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada jam 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Pada PRK kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menugaskan seramai 552 petugas, sementara 800 pegawai dan anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Hanya Abidin akan mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, iaitu satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Sungai Bakap dan Jawi.

Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lepas, selepas SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. - Bernama

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!